Blog-blog pro-Umno, yang mengeluarkan klip video seks dengan entri mengaitkan inkues kematian Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed, tidak wajar menyiarkan bahan-bahan tanpa bukti, yang secara langsung mengaibkan Kastam Diraja Malaysia dan individu yang sudah pun meninggal dunia.
Presiden Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung Malaysia Ibrahm Ahmad berkata, blog The Unspinners tidak wajar mengeluarkan klip video berjudul “Pegawai Kastam Yang Terlampau” — yang merujuk kepada agensi itu dan kakitangannya kerana inkues hanya menyiasat kematian Sarbaini, yang mati ketika berada di premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kata beliau, fokus inkues sangat jelas iaitu melihat pada punca kematian Sarbaini di SPRM dan bukannya soal lain.
Sarbaini merupakan salah seorang daripada 62 orang pegawai Kastam disoal siasat oleh SPRM awal April lalu.
“Permintaan kami, tolong hentikan kerja-kerja menyiarkan klip video yang mengaibkan orang lain, tolong hentikanlah,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
“Pihak kesatuan kecewa dengan pemblog yang menyiarkan klip ini. Tolong jangan kaitkan dengan inkues Sarbaini kerana inkues tersebut sedang berjalan untuk mencari punca kematian Sarbaini,” kata beliau lagi.
Keputusan inkues akan diketahui esok.
“Tindakan blog ini sebenarnya akan menyebabkan reputasi atau maruah keluarga Sarbaini tercemar, juga menyebabkan maruah keseluruhan Jabatan Kastam turut tercemar,” tambah Ibrahim.
Ibrahim yang agak terkejut dengan tindakan blog itu menambah, “kami tidak mengesyaki siapa di belakang perbuatan ini.”
“Kami tidak syak sesiapa, walaupun ada orang kata pihak ini pihak itu. Saya tak berani tuduh... tak tahu, cuma kita minta (pemblog dan laman blog) hentikan perbuatan macam ini,” katanya lagi.
Kelmarin, The Malaysian Insider membawa laporan penyiaran klip berkenaan, usaha yang dilihat sebagai percubaan mahu mencemarkan reputasi pegawai-pegawai Kastam Diraja Malaysia menjelang keputusan inkues yang akan diumumkan berhubung kematian Sarbaini.
Video itu, yang kelihatan dirakamkan secara rahsia, menunjukkan seorang lelaki Melayu mengadakan hubungan seks dengan wanita Caucasus, dipercayai di sebuah bilik hotel.
Blog The Unspinners merupakan laman pertama mengeluarkan video itu, mendakwa lelaki dalam rakaman itu adalah seorang pegawai kastam manakala wanita itu pula pelacur rakyat Rusia.
Lelaki dalam video itu tidak dinamakan tetapi pemblog itu memaut rakaman tersebut yang berjudul “Pegawai Kastam Yang Terlampau,” dengan kematian seorang pegawat kastam di bangunan pejabat SPRM Wilayah Persekutuan 6 April lalu.
Pemblog itu berpendirian selari dengan kedudukan SPRM dan peguamnya Datuk Seri Muhamad Shafee Abdullah ketika prosiding berkenaan kematian Sarbaini.
Video itu dikaitkan dengan Kastam Diraja Malaysia selepas balu Sarbaini memberikan satu kenyataan kepada Raja Petra Kamarudin yang mengendalikan blog Malaysia Today, mendakwa kenyataan Shafee dan SPRM telah mencemarkan nama suaminya.
Maziah Manap berkata dia tidak gembira dengan kenyataan Shafee kerana mendakwa suaminya cuba mahu melepaskan diri daripada SPRM untuk bertemu dengan seorang rakannya dan bagi memastikan kenyataan mereka adalah konsisten.
Kata blog itu, Sarbaini adalah pegawai kastam yang ada kes rasuah yang sedang disiasat dan “hairannya Raja Petra cuba nak pertahankan kematiannya seolah-olah SPRM ada lakukan ‘foul play’.”
Pemblog itu menambah, apa yang ditulis Raja Petra adalah motif pembangkang yang mahu kes Sarbaini seperti mendiang bekas setiausaha politik Teoh Beng Hock bagi mendapatkan sokongan pegawai kerajaan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.