Followers

Thursday, September 15, 2011

Anwar Ibrahim Selar Umno-APCO Pinggir Pejuang Kemerdekaan Sebenar






Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan negara kini berada di persimpangan sementara rakyat mahu mengetahui sejarah sebenar perjuangan kemerdekaan serta berhasrat menolak dongengan ciptaan pemerintah.

Selain itu kata beliau, para sarjana dan intelektual pula tidak boleh lagi tinggal diam membisu.

“Mereka harus bingkas bangun bersama rakyat keseluruhannya menjadi penyuluh menelusuri jalan memaknai kemerdekaan dan membangun negara Malaysia ini,” kata Anwar dalam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia esok.

Ketua Umum Pakatan Rakyat ini menyentuh poin ketika wujud polemik mengenai pejuang-pejuang kemerdekaan dan juga persoalan sama ada negara ini benar-benar dijajah oleh kuasa asing.

Sehubungan itu kata beliau, antara tugas intelektual ketika ini menjadi suara menyatakan kebenaran tanpa rasa takut.

“Kita masyhgul apabila wacana pensejarahan menjadi medan untuk mereka yang berkuasa menuding siapa pengkhianat dan siapa yang bukan,” kata beliau.

Tegas Anwar, sewajarnya wacana pensejarahan sebegini sesuai sebagai pentas menyemak kembali fakta memperkaya pengetahuan rakyat, bukannya sebagai upaya politik murahan hattamengetepikan hakikat sejarah.

“Polemik Mat Indera yang tercetus baru-baru ini menggasak pimpinan Umno bertindak balas dengan nada emosi,” kata beliau dengan merujuk kepada polemik mengenai kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu tentang tragedi Bukit Kepong.





“Retorika seumpama pengkhianat dan tidak kenang budi dicanang seluruh negara sedangkan rujukan seperti karya berjudul Pengukir Nama Johor terbitan Yayasan Warisan Johor serta disunting Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid dan Md Ismail Zam Zamitu menjelaskan Mat Indera antara mereka yang gigih menentang penjajahan British,” katanya.

Anwar juga berkata, janganlah pula kerana kesediaan “kita menghargai kegigihan Mat Indera itu, maka dilabelkan kita sebagai mendokong agenda komunisme.”

“(Sebaliknya) kita tuntas menolak apa sahaja bentuk fahaman yang membenarkan pemerintahan satu parti, membungkam suara mereka yang tidak sehaluan dan berlandaskan keganasan.

“Kita tuntas mengecam tragedi Bukit Kepong yang mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa,” kata beliau.

Ujar Anwar, sejarah menunjukkan asakan komunisme dapat ditewaskan lantaran kekuatan muafakat terutamanya umat Melayu termasuk Umno, PAS dan seluruh kekuatan rakyat.


“Maka amat dikesalkan manakala kemerdekaan berjaya dicapai, pihak penguasa kini cuba menafikan sumbangan mereka yang sudah berkorban nyawa, keringat dan harta demiperjuangan yang mulia itu.

“Berasaskan faham itulah juga memperkukuh tekad kita mahu melakukan perubahan dan menumbangkan hipokrisi pimpinan Umno-Barisan Nasional,” kata beliau sambil menambah, “manakala komunisme dimomokkan sebagai pengkhianat, pimpinan Umno-Barisan Nasional tidak segan silu pula curang kepada semangat kemderdekaan yang raih itu.”


Oleh itu kata beliau, persoalannya bagaimana kita menilai makna kemerdekaan itu.


“Apakah kita sudah bebas dari segala bentuk penindasan dan kezaliman?” katanya.


Malah kata Anwar, tiada gunanya dicanang laungan kemerdekaan sekiranya masih ramai yang terpinggir tatkala khazanah negara dikongsi kelompok kecil yang rapat dengan penguasa.


Oleh itu kata beliau, apa makna kemerdekaan jika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) masih diteruskan, bahkan digunakan pula untuk memenjarakan musuh politik.


“Kita rakyat Malaysia tidak mahu suatu pemerintahan yang sekadar menggantikan regim penjajah, sekadar bertukar bekas sedangkan isi dicurah dan disisihkan.


“Oleh kerana itu kita tuntas menuntut agar dikembalikan Semangat Kemerdekaan dan dipenuhi pula Makna Pembentukan Negara Malaysia itu,” kata Ketua Umum PKR ini.


Kata beliau, sudah lama rakyat negara ini disogokkan dengan naratif sejarah yang dilakar oleh sesetengah pihak sahaja.


Tambah Anwar, tujuan asal sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan disampaikan kepada generasi seterusnya ternyata menyimpang dari hala tuju yang sebenarnya.


“Sejarah dimanipulasi demi kepentingan sesetengah pihak sahaja sekaligus menafikan perjuangan golongan lain yang bersama bertungkus lumus menentang penjajahan.


Mana mungkin, kita menafikan perjuangan tokoh-tokoh yang dilatari pelbagai faham perjuangan,baik dari gerakan Islam, aliran kiri mahupun dari aliran kanan,” kata Anwar sambil menambah, mereka walaupun berbeda pandangan, hakikatnya punyaimatlamat yang sama iaitu mahu tanah air merdeka dari penjajah.


Oleh itu tegasnya, adalah suatu keangkuhan sekiranya “kita menafikan sumbangan golongan tertentu menuntut kemerdekaan hanya kerana mereka tidak sehaluan dengan kita.”


“Jikalau kita jujur berhadapan dengan sejarah, ternyata selain dari Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman, ramai lagi seumpama Dr Burhanuddin al Helmi, Ishak Haji Muhammad, V.T. Sambathan, Tan Cheng Lock, Rosli Dhobi di Sarawak dan Mat Salleh di Sabah ternyata gigih menentang penjajahan terutamanya penjajahan British,” kata beliau.

Jalan Pulang

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.