Followers

Wednesday, August 10, 2011

Status PR tidak boleh jadi pemilih - SPR


SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyangkal tuduhan sesetengah pihak kononnya terdapat 1,597 pemegang status pemastautin tetap (PR) dalam senarai daftar pemilih.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusuf menegaskan pihaknya tidak akan meluluskan permohonan sesiapa saja berstatus PR menjadi pengundi dalam pilihan raya.

“Kita menyaring setiap permohonan untuk menjadi pemilih dengan amat teliti menerusi 33 kriteria, yang salah satu darinya ialah taraf atau status pemohon,” katanya.


Menurutnya, sesiapa yang memohon untuk menjadi pemilih mesti menunjukkan kad pengenalan biru dan kad pemastautin tetap warna merah tidak akan dipertimbangkan dalam apa cara pun.

Beliau diminta mengulas kenyataan pihak pembangkang mengenai status PR yang nama mereka tersenarai dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan SPR berakhir 2 Julai lalu.

Katanya, pihak membuat tuduhan tidak boleh berpandukan nama-nama PR yang terdapat dalam laman web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebab maklumat di situ kemungkinan belum dikemas kini.

“Di SPR, sekiranya ada sebarang keraguan mengenai status pemohon, kita akan segera merujuk kepada JPN, kita kena teliti setiap kriteria sebelum meluluskan dan mempamerkan daftar pemilih.

“Kita menyemak dan membetulkan nama pemilih setiap hari, jadi sekiranya ada pihak tidak puas hati sila datang untuk membuat semakan dengan SPR, sebab kita terbuka,” katanya.

Ditanya mengenai Mismah yang dalam rekod JPN berstatus pemastautin tetap, tetapi dalam sistem SPR dia telah didaftarkan sebagai pengundi baru, Abdul Aziz menjelaskan “Rekod dalam laman web JPN mungkin tidak dikemas kini, pembangkang tidak boleh merujuk hanya kepada rekod JPN, sebab itu kena semak dengan kita untuk mendapatkan penjelasan,” katanya.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.