KUALA LUMPUR 1 JULAI : Kenyataan dangkal Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen kononnya sektor pelancongan di negara ini akan kehilangan lebih RM1 bilion akibat penganjuran himpunan BERSIH 2.0, dilihat sebagai dangkal.
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu hujah Yen Yen langsung tidak masuk akal dan menteri itu seharusnya melihat kepada matlamat himpunan aman itu diadakan.
Malah jika penganjuran himpunan aman itu dibenarkan tanpa sebarang kekangan politik, ia akan mengembalikan kepercayaan masyarakat dunia terhadap ketelusan pentadbiran negara, bukannya memburukkan lagi imej Malaysia.
Beliau juga dengan sinis menyatakan, terlalu banyak ketirisan dan perbelanjaan yang dilakukan oleh negara terutama dalam membiayai perjalanan ke luar negara isteri Perdana Menteri, Datin Seri rosmah Mansor yang kononnya menerima jemputan daripada pelbagai pihak.
"Menteri Pelancongan bercakap mengenai kerugian 1 juta, hari ini rakyat bertanya mengenai perbelanjaan ke seberang laut Perdana Menteri dan isteri bernilai 18 juta, kediaman rasmi mereka bernilai 48 juta. Perbandingan 1 juta yang dipertikaikan Menteri Pelancongan itu jauh angkanya. Jadi cukup tidak munasabah jika rakyat ditakut- takutkan dengan kenyataan itu," katanya.
Ng Yen Yen sebelum ini berkata, perhimpunan aman 9 Julai ini bakal menyebabkan sektor pelancongan negara kehilangan lebih RM1 bilion ekoran menakutkan pelancong untuk bertandang ke negara ini sekaligus mengurangkan jumlah pendapatan sektor tersebut.
Berdasarkan statistik, sektor itu mencatat keuntungan RM2.2 juta pada Julai 2010 dengan kos perbelanjaan sebanyak RM6 bilion.
Mengulas isu yang sama, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub mempertikaikan bagaimana perhimpunan aman selama 3 jam itu boleh menyebabkan pengurangan 20 peratus pendapatan industri pelancongan, walhal penganjur, NGO dan Pakatan Rakyat menjanjikan himpunan itu akan berlangsung dalam suasana yang paling aman.
"Saya tidak fikir bahawa negara akan mengalami kerugian dalam jumlah yang begitu besar. Ia adalah suatu imaginasi Menteri Pelancongan (Datuk Ng Yen Yen) yang meramalkan negara akan mengalami kerugian dalam jumlah yang begitu besar."
Sementara itu Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago memberitahu menteri berkenaan sebagai jahil dalam memberikan hujah yang disifatkan mahu memperlekehkan rakyat.
Beliau memulangkan paku buah keras kepada Yen Yen yang sebelum ini menghabiskan RM1.8 juta hanya untuk membuka akaun laman sosial 'Facebook', walhal akaun itu diketahui umum adalah percuma kepada siapa sahaja.
"Hanya dikatakan untuk memperbodohkan rakyat, walhal kita tahu kementerian beliau sendiri telah membelanjakan 1.8 juta ringgit untuk membuka akaun Facebook yang sebenarnya percuma. Itu merupakan satu pembaziran yang besar, kita dapati ketirisan dalam kerajaan khususnya ekonomi dan juga mungkin ada unsur rasuah."
TVS News
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.