Followers

Thursday, July 7, 2011

Politik baru Malaysia medan antara Najib-Anwar - Oleh Lanh

TANPA mengira waktu Tengku Jab mengangkat jari telunjuknya. Tak kira siang atau malam, jari telunjuk seringkali diangkat ke atas. Itulah yang tidak lupa dilakukan Tengku Jab apabila bertemu dengan seseorang.

Apa makna mengangkat jari telunjuk bagi Tengku Jab. Tentunya ada makna tersirat. Jari telunjuk itu bermakna RM1. Apabila bertemu dengan orang dikenali jari telunjuknya digoyang-goyang ke atas.Itu tandanya Tengku Jib minta duit RM1. Anehnya sejak September 2009 bukan setakat Tengku Jib yang menjulang jari telunjuk. Perdana Menteri pun mulai pandai menunjukkan jari telunjuk.

Tapi seakan-akan sah Tengku Jab mulakan dahulu. Idea tunjuk jari telunjuk sudah lama menjadi amalan Tengku Jab. Tanyalah orang kampung di tempat Tengku Jab tinggal.

Ketika Tengku Jab sudah goyangkan jari telunjuk ke atas, Najib belum lagi bergelar Perdana Menteri atau Presiden Umno.


Orang kampung dan jiran sudah lama kenal siapa Tengku Jab. Bukan hendak perlekeh atau persenda, Tengku Jab gemar kayuh basikal tanpa baju. Kadang-kadang pakai kain sarung terlodeh.


Jari telunjuknya diangkat bertujuan minta ihsan wang RM1. Dia hendak beli rokok sebatang. Perdana Menteri pula angkat jari telunjuk bagi menggambarkan 1Malaysia.


Sebelum ini Ketua Pembangkang di parlimen, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendakwa Najib tiru One Israel. Dakwaan itu menyebabkan beliau digantung menghadiri sidang perlimen selama enam bulan.


Najib tidak mengaku tiru One Israel. Penyokong kerajaan di parlimen mahu anggota parlimen Permatang Pauh digantung. Kemudian kesimpulan dibuat Speaker Dewan Rakyat, 1Malaysia bukan tiru One Israel.


Tetapi budak-budak di kampung Tengku Jab kata 1Malaysia bermakna RM1. Tidak salah kalau hendak dikatakan idea Tengku Jab sudah meluas sekarang. Hari ini di lengan atau dada atau perut baju kakitangan kerajaan ada perkataan 1Malaysia. MasyaAllah hebatnya idea dirintis Tengku Jab.


”Saya gembira kerana Perdana Menteri tiru idea saya,” kata Tengku Jab diiringi ketawa hilai. Perutnya kelihatan agak burai.


Ini bukan cerita satira. Ia realiti yang berlaku di sebuah kampung di Kelantan. Baru-baru ini lahir pula Kedai Rakyat 1Malaysia. Sebelum ini sudah ada Klinik 1Malaysia.


Mungkin ada kebenaran apabila Najib menolak dakwaan Anwar One Israel sama dengan 1Malaysia. Mampukah Perdana Menteri menolak idea Tengku Jab (bukan nama sebenar) yang suka angkat jari telunjuk untuk meminta pulus RM1.


Sekarang seperti kelihatan ada juga mesej tersirat di sebalik 1Malaysia. Mungkinkah ada hubungkait dengan wang dan projek. Pemilik Pasar Raya Mydin bijak merebut peluang perniagaan di sebalik jenama 1Malaysia.


Kedai Rakyat 1Malaysia khabarnya memasar 250 jenama dengan harga murah. Jenama produknya 1Malaysia. Sama seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia juga akan diperluaskan ke seluruh negara. Klinik 1Malaysia kini hanya gah pada nama. Ia skadar membekalkan ubat batuk dan demam (panadol). Berapa kerat sangat orang kampung sudi bertandang ke Klinik 1Malaysia.


Bagi berlaku adil mari kita lihat apa itu konsep 1Malaysia. Temanya Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Ia disedut daripada Rukun Negara. Objektifnya mencapai perpaduan lebih erat dalam kalangan masyarakat, memelihara cara satu hidup demokratik.


Selain itu mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.


Kata Perdana Menteri, ”Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita.”


Prinsip teras 1Malaysia iaitu penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial. Manakala nilai-nilai 1Malaysia iaitu budaya cemerlang, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.


Inti konsep 1Malaysia nampaknya sekadar memberi wajah baru terhadap apa yang sudah tercatat dalam Rukun Negara. Tiada paradigma baru atau tranformasi minda ke arah masyarakat kelas satu.


Berbeza dengan Islam Hadhari. Kata Tun Abdullah Ahmad Badawi, ”Segarkan kembali semangat hijrah dan fathu Makkah serta pancarkan nur hadhari ke serata bumi. Berjihadlah membina kekuatan Islam itu sendiri melalui penguasaan ilmu, politik dan ekonomi serta keteguhan jati diri dan akal budi.”


Di situ kelihatan ada jalur-jalur pemikiran sejagat. Lihat pula apa prinsip di bawah pendekatan Islam Hadhari.


Pertamanya keimanan dan ketakwaan kepada Ilahi; kedua, kerajaan adil dan beramanah; ketiga, rakyat bebas dan merdeka; keempat, penguasaan ilmu pengetahuan.


Kelima, pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif; keenam, memupuk kehidupan berkualiti, ketujuh, penjagaan hak kumpulan minoriti dan wanita; kelapan, keutuhan budaya dann moral, kesembilan, pemuliharaan sumber asli dan alam sekitar dan akhirnya, kekuatan pertahanan. Ramai melihat kerangka pemikiran pendekatan Islam Hadhari lebih jelas berbanding konsep 1Malaysia.


Malangnya idea pemikiran Pak Lah tidak dipromosi hebat seperti 1Malaysia. Kalau Pak Lah mahu membazirkan lebih banyak wang rakyat, tentunya Klinik Islam Hadhari, Kedai Islam Hadhari atau apa-apa sahaja di atas natijah Hadhari boleh dijelmakan.


Kelebihan yang dibuat pasukan Pak Lah apabila gagasan itu diseminarkan di seluruh negara. Sedangkan 1Malaysia tidak kelihatan dilakukan ke arah itu.


Namun kalau ditanya kepada budak-budak, Islam Hadhari atau 1Malaysia kedua-duanya mereka tidak faham. Jelaslah di sini, 1Malaysia ada projek wang rakyat sedang menunggu, sedangkan pendekatan Islam Hadhari membayangkan satu jalur pemikiran.


Tanpa perlu menunggu masa melewati tahun kedua, 1Malaysia semakin malap. 1Malaysia sebenarnya membayangkan gagasan sekadar menyaingi apa yang disajikan Pakatan Rakyat.


Maka, Najib mengarahkan pembantunya mempromosi keterlaluan gimik 1Malaysia. Pada permulaan timbul idea Juara Rakyat. Dan sekarang Kedai Rakyat 1Malaysia.


Bagi sarjana politik, tidak payah untuk mengesan apa mesej perdana menteri. Debar dan ombak jantungnya berkocak kencang kerana ada perkataan ”rakyat”. Sindromnya berpangkal pada 8 Mac 2008. Pakatan Rakyat yang dilahirkan selepas tarikh itu menghasilkan sindrom ditakuti Najib, Umno dan Barisan Nasional (BN).


Gimik 1Malaysia dilahirkan bagi menyaingi Pakatan Rakyat. Selain itu kelibat Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu dicantas. Paling dibenci Umno dan Najib iaitu anggota parlimen Permatang Pauh itu.


Konsep 1Malaysia tidak mampu menyaingi populariti Anwar. Jelaslah kepada kita pusingan pertama pertarungan pasukan Najib di medan propaganda seperti sudah rebah di kaki Anwar.


Najib tidak mampu menyaingi Anwar menggunakan medan psikologi pemikiran. Maka kata pemerhati di kampus, Najib terpaksa mengumpan langkah kedua iaitu jentera kerajaan dan media.


Pusingan kedua pertarungan Najib – Anwar mulai seimbang. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mahkamah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), semuanya di bawah ketiak perdana menteri. Begitu juga media.


Anwar seperti tiada kekuatan lagi. Jauh sekali mampu merempuh jentera kerajaan. Namun, pertarungan pusingan ketiga sekarang kekuatan baru tiba-tiba dijelma bagi membantu Anwar yang keletihan. Lahirnya Bersih 2.0 membuat jantung perdana menteri berolak kembali.


Jentera kerajaan tidak mampu menyaingi kekuatan Bersih 2.0. Langkah pemerintah di bawah Najib sekadar mengharapkan jentera polis menghalang detik 9 Julai menjelma.


Kalau sebelum ini 16 September dibimbangi Umno, tetapi sekarang berpindah pula kepada 9 Julai. Polis terpaksa bekerja keras menahan Bersih 2.0 membadai. Mampukah 1Malaysia menyekatnya.


Islam Hadhari hayat hampir tujuh tahun, namun 1Malaysia sudah gonyang melewati tahun kedua. Najib juga gagal memperkuatkan jenama 1 Malaysia dalam Umno dan komponen BN.


Islam Hadhari hilang sebaik sahaja Abdullah turun dari Putrajaya. Hari ini 1Malaysia seperti mengheret kaki Najib. Ketika Najib masih di Putrajaya 1Malaysia sudah hilang tajinya. Bersihkah angkaranya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.