PETALING JAYA 15 JUN : Pelbagai kritikan dan kesalahan yang cuba dicetuskan oleh pihak tertentu untuk memburukkan imej Yayasan Selangor mengundang perhatian ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.
Prihatin dengan tohmahan yang dilemparkan kepada anak syarikat kerajaan negeri itu, Zuraida tampil dengan senarai projek-projek yang jelas menunjukkan amalan ketirisan dilakukan oleh kerajaan Umno-BN semenjak 1993 sehingga 2008.
" Jadi di sini kita boleh lihat bagaimana sambil lewanya mereka memberikan projek dan bagaimana mereka tidak mengambil balik wang yang sepatutnya mereka ambil dalam perjanjian dan biarkan sahaja kes seperti ini berlalu tanpa mendapat pulangan yang sepatutnya,"katanya.
Malah menurut Zuraida, Umno-BN pada zaman pemerintahan mantan menteri besar, Dr Mohamad Khir Toyo menggunakan sepenuhnya Yayasan Selangor untuk kepentingan parti itu.
" Dan kalau kita lihat Yayasan Selangor ketika di bawah Umno-Barisan Nasional telah dijadikan sebagai satu poket untuk pihak mereka ambil, untuk mereka belanjakan tanpa ketelusan. Ini jelas dapat kita lihat bagaimana Yayasan Selangor dahulu diperkudakan oleh Umno-BN,"tambah beliau.
Dalam perkembangan terbaru, Utusan Malaysia melabelkan Yayasan Selangor sebagai sebuah syarikat yang membebankan rakyat di negeri ini.
Kelmarin Utusan Malaysia dalam laporan bertajuk "Kerajaan Selangor amal diskriminasi-Firdouz" menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri Selangor 'merampas' kawasan perniagaan penduduk di Kampung Melayu Subang Tambahan dan diserahkan kepada Yayasan Selangor.
Walau bagaimanapun,menurut Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki, pihaknya tidak pernah memohon atau menerima sebarang Lot Tanah di Kampung Melayu Subang Tambahan seperti yang didakwa Penolong Setiausaha Pemuda Umno, Datuk Megat Firdouz Megat Junid.
Namun apa yang berlaku pada zaman pemerintahan Khir Toyo jauh menunjukkan dana awam digunakan sewenang-wenangnya untuk kepentingan kerajaan yang berkuasa ketika itu.
Zuraida semalam mendedahkan,lebih kurang 15 projek yang berlaku ketirisan semenjak 1993 hingga 2008 di bawah kerajaan Umno-BN.
“Ketirisan aset Selangor selama 1993 hingga 2008, kita dapat lihat ada beberapa projek di bawah pentadbiran Khir Toyo yang tidak ada kebertanggungjawaban, tidak ada komitmen bagi memastikan semua projek-projek dilaksanakan dapat dijadikan tabung kepada Selangor untuk membantu rakyat miskin.
“Contohnya, pembangunan tanah di Jalan Lapangan Terbang Subang seluas 31.8 ekar. Kontrak ini diberikan kepada Puncak Dana Sdn Bhd, anggarannya RM987 juta tapi semasa Umno memerintah mereka hanya pungut RM 127 juta, selebihnya dibiarkan sahaja dan mereka laporkan sebagai projek tergendala, terbengkalai dan sebagainya,” ujarnya yang juga Ahli Palimen Ampang.
“BN Umno semasa menguruskan Yayasan Selangor, mereka menguruskan dengan sikap tidak bertanggungjawab sambil lewa, tidak ada amanah dalam melaksanakan tugas mereka untuk membantu rakyat negeri Selangor,” ujarnya lagi.
Sebelum ini Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan banyak perbelanjaan yang tidak telus dan tidak munasabah oleh Yayasan Selangor sehingga membawa kepada defisit RM7.41 juta.
Kata Khalid, perbelanjaan tanpa perancangan menyebabkan kedudukan kewangan Yayasan Selangor sehingga November 2010, defisit RM7.41 juta.
TVS News
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.