KUALA LUMPUR, 18 Jun: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengesahkan akan hadir dalam Majlis Pelancaran Pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) Malaysia yang diadakan malam ini di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, dekat sini.
Sebagai salah seorang pemidato dalam majlis itu, beliau akan berada sepentas dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bakal melancarkan program itu bermula jam 8.00 malam.
"Ya, saya akan hadir dalam majlis itu," katanya.
Ketika ditanya harapannya kepada rakyat Malaysia, beliau berkata, semua anggota masyarakat perlu bangkit menentang kezaliman di mana sahaja ia berlaku termasuk dalam negara ini.
Terdapat tiga lagi ucapan selain dari beliau yang mewakili Pakatan Rakyat, Pengerusi LL4G, Noorazman, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin dan Najib.
Selain pidato, hadirin akan melihat persembahan multimedia mengenai apa yang berlaku dalam Flotilla 1, persembahan lagu Gaza dan deklamasi sajak Palestin oleh Dr Lim Swee Tin.
Penyanyi nasyid, Muadz Dzulkifley juga akan menghiburkan penonton dengan lagu-lagu bersemangat termasuk adaptasi daripada Hadis Nabi Muhammad SAW.
Menghimbau sejarah pada 8 Mei 2002, dua pemimpin utama Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor pernah berada sepentas berbicara tentang isu sama, Palestin.
Pertemuan dua pemimpin utama umat Islam negara ini telah menghasilkan Pernyataan Bersama berbunyi:
"Atas semangat kemanusiaan dan keamanan sejagat, kami atas nama rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan keturunan serta fahaman politik yang berbeza-beza, berkongsi rasa, cita dan perjuangan dengan seluruh rakyat Palestin yang mempertahankan hak di bumi kelahiran mereka.
"Kami menggesa seluruh warga dunia agar turut serta menyuarakan dan memberikan sumbangan dalam bentuk apa sahaja sehingga rakyat Palestin dapat hidup dengan aman dan damai di negara yang berdaulat''.
Sementara itu, AJK Pemandu LL4G Malaysia, Zulkefli Mohd Nani dalam kenyataannya berkata, penentangan terhadap kezaliman Israel menuntut kesanggupan semua rakyat negara ini tanpa mengira ras, agama dan budaya.
Menurutnya, LL4G adalah sebuah gabungan badan bukan kerajaan Malaysia, akan menyertai bersama lebih 600 sukarelawan antarabangsa dari pelbagai bangsa dan agama, dalam Misi Kemanusiaan “International Freedom Flotilla 11” ke Gaza hujung bulan ini.
Menurutnya, kesemua kapal antarabangsa ini dijangka berada di lautan pada 27 atau 28 Jun ini.
"Misi Pelayaran Kemanusiaan ini bakal disertai oleh 13 buah kapal antarabangsa; 10 kapal penumpang dan tiga kapal kargo, akan belayar bersama menghantar bantuan kemanusiaan.
"Sekali gus memberi tekanan supaya Israel menamatkan embargo ekonomi yang dikenakan ke atas penduduk di Gaza dan Palestin.
"Bertemakan Pertahankan Kemanusiaan atau Stay Human, misi ini bergerak berdasarkan prinsip-prinsip keamanan dan mematuhi seluruh undang-undang antarabangsa termasuk semua resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," jelasnya.
Zulkefli turut memaklumkan misi ini akan membawa bersama bantuan kemanusiaan seperti peralatan hospital yang amat diperlukan oleh penduduk di Gaza, bahan-bahan pendidikan untuk kanak-kanak serta barangan pembinaan asas yang diperlukan dalam pembinaan semula bangunan.
Justeru, beliau berkata, mereka yang ingin menghulurkan bantuan dan menaja pembelian peralatan yang diperlukan, boleh melalui akaun Muslim Care (Viva Palestin: 564490211159 (Maybank) | | | |
|
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.