Followers

Thursday, June 23, 2011

Bukti Daftar Pemilih Bersih : Timb, Pengerusi SPR Lari Dari Isu Pokok Ditulis oleh Hafizan Taib

 

KUALA LUMPUR 23 JUN : Kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar yang mengheret cabaran Azmin Ali supaya beliau meletakkan jawatan dengan institusi raja, adalah suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab sama sekali.

Malahan menurut ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah, tindakan Wan Ahmad cuba mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dalam perkara tersebut seolah-olah lari dari persoalan pokok yang dibangkitkan.
“Isu yang dibangkitkan oleh Azmin Ali memang sangat penting sebab beliau persoalkan tentang kesahihan daftar undi. Ini satu isu yang pokok dan beliau beri keterangan yang cukup kuat dan terperinci berdasarkan kedudukan rumah ibunya sendiri,” katanya kepada TV Selangor ketika ditemui di lobi Parlimen di sini semalam.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR pada Konvensyen Pilihan Raya PKR yang lalu, mencabar Wan Ahmad supaya membuktikan bahawa daftar pemilih induk adalah bersih seratus peratus daripada pengundi hantu, dan jika gagal, beliau harus meletakkan jawatannya.  

Beliau memberikan tempoh 48 jam kepada Wan Ahmad berbuat demikian kerana Wan Ahmad menuduhnya berbohong berhubung maklumat daftar pemilih di kawasan Parlimen Gombak yang diwakilinya.

Azmin mendakwa, rumah yang didiami ibunya di Kampung Klang Gate Baru mempunyai 11 pemilih berdaftar iaitu enam Melayu dan lima Cina.

Menurut Sivarasa, isu pengundi Cina yang didaftarkan di rumah ibu Azmin hakikatnya perlu dijelaskan oleh pihak SPR dan bukan mempertikaikan apa diperkatakan.

Jelas beliau, kenyataan Wan Ahmad yang menyatakan Azmin tidak menghormati pelantikan oleh Yang Dipertuan Agung ke atas dirinya bagi jawatan Timbalan Pengerusi SPR adalah menyimpang dari isu sebenar.
“Pelantikan hampir semua jawatan besar dalam negara ini dibuat oleh Yang Dipertuan Agong tetapi itu tidak bermaksud nama Yang Dipertuan Agong boleh dibangkitkan bila kita kritikkan nama-nama jawatan besar ini, sama ada dia Ketua Polis Negara atau Peguam Negara atau Ketua Audit Negara. Mereka ada tanggungjawab kalau mereka salah, kita akan tegur,” katanya.

Tegasnya, SPR seharusnya menjalankan siasatan dan membetulkan keadaan yang tidak betul supaya tidak timbul sebarang isu hingga menyebabkan berlakunya tindakan mengadakan perhimpunan aman seperti Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

“Sebab itulah tuntutan Bersih 2.0 ini sangat wajar dan tepat pada waktunya. Rakyat Malaysia harus menyokong penuh usaha ini untuk jaminan masa depan bagi demokrasi kita,” katanya lagi. 

TVS News

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.