Followers

Thursday, June 2, 2011

Biasiswa: Guan Eng dakwa MCA gagal tunai janji

DAP, komponen Pakatan Rakyat, kecewa kerana MCA gagal mengotakan janji manakala Putrajaya pula tidak menganugerahkan 86 pelajar cemerlang tambahan biasiswa luar negara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sebaliknya hanya akan ditempatkan di kolej swasta dan universiti tempatan.

Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng berkata, pada 27 Mei lalu, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek telah mengumumkan kepada media bahawa beliau telah menyatakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa pelajar cemerlang SPM harus diberi tajaan biasiswa bagi pengajian luar negara walaupun Putrajaya mendakwa tidak pernah membuat janji seumpama itu.

“Kegagalan MCA untuk mengotakan janji mereka bahawa 86 pelajar cemerlang SPM akan diberi tajaan pengajian luar negara JPA sama seperti pelajar cemerlang SPM yang lain, bukan sahaja dilihat tidak adil, malah akan memberi impak kepada bakat muda yang berkebolehan.

“Adakah adil 300 pelajar cemerlang mendapat tajaan pengajian luar negara JPA tetapi bukan 86 pelajar yang juga sama cemerlang?” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Justeru kata beliau, MCA, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan wakil Gerakan dalam Kabinet seharusnya tampil memberi penjelasan mengapa mereka tidak berani mempertahankan pemberian biasiswa pengajian luar negara kepada pelajar cemerlang tersebut dalam jemaah menteri atau menegakkan ketelusan dan akauntabiliti dengan mendedahkan senarai lengkap penerima biasiswa pengajian luar negara beserta keputusan peperiksaan mereka.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, adalah jelas MCA telah mengecewakan 86 pelajar cemerlang SPM dan memusnahkan impian mereka dengan memungkiri janji untuk memberi biasiswa JPA bagi melanjutkan pelajaran di luar negara.

“MCA juga gagal untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah yang berulang saban tahun ini dan pasti akan berulang lagi pada tahun-tahun yang mendatang,” katanya lagi.

Lim menambah, ini bukan masalah perkauman kerana daripada 86 pelajar cemerlang yang memohon, tiga adalah Bumiputera Melayu, seorang Bumiputera Sarawak, 71 orang Cina dan 11 orang India.

“Bahayanya, pelajar cemerlang ini yang merasakan mereka tidak dihargai akan lebih cenderung untuk berhijrah apabila tamat pengajian kelak.

“Bukan sahaja pelajar cemerlang bukan melayu yang akan berhijrah, tetapi juga pelajar cemerlang Melayu akan berbuat demikian,” katanya.

Pencacai SeMalaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.