Followers

Saturday, April 30, 2011

FATWA DARI MAT MONGGOL - "Bersumpah Tuduh Orang Berzina Hak Mutlak Individu"

Kata Perdana Menteri Najib Razak, sumpah laknat itu adalah hak individu. Jika ahli perniagaan, Shazryl Eskay Abdullah dan rakan kongsinya dalam kumpulan Datuk T, atau sesiapa sahaja mahu bersumpah bahawa mereka bercakap benar apabila menuduh Anwar Ibrahim berzina, kata Najib, itu adalah hak peribadi mereka.

Oleh itu, katanya lagi, tidak boleh sesiapa atau mana-mana parti politik menghalang Eskay dan kawan-kawannya untuk melafazkan sumpah demi menyokong pendirian atau tuduhan mereka terhadap sesiapapun. Dan, sekali lagi, Najib berkata, tidak ada mana-mana pihak, termasuk parti Umno yang dipimpinnya, boleh menyuruh Eskay dan rakan-rakannya bersumpah atau menghalang mereka.

Kenyataan Najib ini merisaukan. Ini kerana ternyata, komennya itu tidak bersandarkan ilmu dan perintah agama dan jauh sekali daripada menghormati pandangan ulama. Lebih menyedihkan pula ia menyerlahkan sikap Najib terhadap tiang bina jatidiri negara ini sendiri.

Dengan mengizinkan sumpah laknat dibuat oleh sesiapa sahaja kerana ia hak individu, maka Najib telah terang-terang membelakangkan prinsip Rukun Negara – kesopanan dan kesusilaan. Bayangkan jika pandangan Najib ini dijadikan pedoman oleh rakyat, betapa berkecamuk Malaysia jadinya.

Jika kita tidak suka pada mana-mana individu atau pemimpin, hatta Najib sendiri, kita boleh sahaja melontarkan pelbagai tuduhan – perasuah, perogol, penipu dan sebagainya. Untuk menghalalkan tindakan kita di sisi agama, kita pun pergi ke mana-mana masjid dan bersumpah di depan saksi (yang dijemput) bahawa tuduhan kita benar dan jika tidak, akan dilaknati Allah.

Ini bahaya. Jika setiap yang bersengketa dan memendam kesumat terhadap orang lain berbuat seperti Eskay kerana dihalalkan oleh Najib sebab ia adalah hak individu, berantakanlah masyarakat dan berhamburanlah sumpah dilafazkan.

Si fulan boleh menuduh bahawa si anu berzina dengan artis, model atau isteri orang di Port Dickson atau di mana sahaja. Si anu pula boleh menuduh si fulan melakukan seks di luar tabii dengan sesiapa sahaja dan, untuk mengukuh atau “mengislamkan” tuduhan, maka si anu dan si fulan boleh lafaz sumpah laknat.

Laknat bagaimana akan menimpa orang bersumpah, bukan perhitungannya.

Memang benar sesiapapun boleh bersumpah. Malah seorang suami yang mengesyaki isterinya berzina boleh bersumpah bahawa tuduhannya itu benar. Namun keizinan bersumpah itu semua itu ada peraturannya. Ini semua sudah ditetapkan Allah

Dalam kes tuduhan zina, yang dituduh berhak mendapat perlindungan pihak berkuasa untuk membela diri dan maruah. Ini hukum qazaf namanya. Pihak berkuasa diberi mandat oleh Allah untuk menghakimkan tuduhan berkenaan dengan panduan yang jelas.

Peraturan yang ditetapkan Allah ialah, yang menuduh mesti mengemukakan empat saksi yang melihat perzinaan membabitkan yang tertuduh berlaku. Jika tidak, yang menuduh mesti dirotan lapan puluh kali.

“Dan orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang baik (berzina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka delapan puluh kali, dan janganlah kalian terima kesaksian mereka untuk selama-lamanya. Merekalah orang-orang yang fasik.” Surah Annuur ayat 4.

Ayat perintah ini tidak kabur. Sesiapa yang membacanya akan dapat menghayati rasional di sebaliknya. Bahawasanya soal maruah si tertuduh zina wajib dipertahankan. Itu yang utama. Sebab itu Allah meletakkan syarat yang ketat dalam penghakiman tuduhan.

Memang bukan senang mencari empat saksi. Itu Allah tahu. Tetapi itu yang ditetapkanNya. Ini kerana Allah tahu yang manusia akan menggunakan pelbagai dalih untuk menguatkan tuduhannya. Ada yang mahu guna foto dan video. Namun bak fatwa tiga mufti - Tan Sri Harussani Zakaria, Juandah Jaya (Perlis) dan Datuk Tamyes Abdul Wahid (Selangor) yang ditetapkan empat saksi dan bukan video atau foto.

Jika gagal berbuat demikian, maka si penuduh wajib disebat 80 kali. Siapa yang wajib melakukan hukuman? Jawapannya ialah pihak berkuasa agama. Dalam konteks Malaysia yang berkuasa ialah kerajaan. Najib ketua kerajaan. Maka Najib mesti memastikan hukuman ini dijalankan.

Memang benar Najib ada menteri halehwal agama dan juga Majlis serta dan Jabatan Agama untuk melaksanakan perintah ini tetapi dia tetap Ketua Kerajaan. Padanya terletak kuasa pengurusan ehwal agama, termasuk dalam bab tuduhan palsu membabitkan zina ini, Maka beliau wajib laksanakan hukum Allah.

Demi memelihara keharmonian masyarakat dan maruah individu, Najib wajib perintahkan jabatan agama laksanakan hukum sebat jika Eskay, Rahim Thamby Chik dan Shuib Lazim gagal kemuka empat saksi.

Maka adalah salah bagi Najib bila berkata, bersumpah untuk menguatkan tuduhan zina ke atas seseorang adalah hak individu. Allah tidak menetapkan begitu. Najib tidak boleh berdalih beliau tidak tahu.

Najib ada peluang dan ada kuasa untuk mengetahui dan memahami hukum Allah. Dia ada menteri yang boleh menasihatinya. Dia ada ulama yang digaji untuk menegurnya. Malah dia ada sekurang-kurangnya empat puluh ulama muda yang baru menyertai partinya untuk membimbingnya.

Najib tidak perlu rasa tertekan oleh peraturan Allah ini. Sebagai hamba Allah dan bukan hamba mana-mana parti dia mesti akur perintah Allah dan bukan gusar tidak pertahan maruah ahli-ahli partinya. Dia tidak boleh kata Umno tidak berhak galak atau halang orang untuk bersumpah laknat. Yang mahu bersumpah juga sumpahlah. Yang menuduh secara terbuka dan diberi publisiti meluas kerana membuat tuduhan, perlu dikenakan hukuman Allah bila tiada empat saksi.

Menurut hukum dunia dan hukum negara, yang menayang video lucah boleh didakwa dan dihukum jika didapati bersalah. Tetapi mengikut hukum Allah adalah salah menuduh orang berzina tanpa ada saksi. Sudah pasti sebagai seorang muslim, Najib tahu dia wajib ikut hukum Allah.

Dia tidak boleh begitu liberal mengatakan hak individu untuk bersumpah dengan nama Allah untuk mencemar maruah insan lain. Ini nyata satu percubaan mencemar perintah Allah. Melanggar ketetapan Allah adalah satu keingkaran. Cuma orang yang angkuh dan tidak yakin penuh akan kuasa Allah berani membelakangkan ketetapan Allah.


~tvs~

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.