Followers

Sunday, April 17, 2011

ANALISIS: Cakap besar dan berlagak “big brother” patut disisihkan.

PRN Sarawak : Renungan buat para pemimpin Pakatan ..


DAP menang besar dalam pilihan raya negeri Sarawak tetapi prestasi parti-parti sahabat Pakatan Rakyat amat mengecewakan. 
Lebih menyedihkan ialah PKR yang hanya dilihat menang sorak.
Dari awal lagi, DAP berpegang kepada strategi menarik undi simpati dengan slogan mahu menafikan dua pertiga majoriti BN Sarawak kerana ia terbukti membawa kejayaan pilihan raya umum 2008 serta pilihan raya kecil Sibu tahun lalu.
Namun strategi sedemikian tidak menarik perhatian pucuk pimpinan PKR yang lebih selesa dengan cakap-cakap naik semangat mahu mengambil alih pentadbiran negeri.
Hakikatnya tiada siapa yang yakin dengan perubahan sebesar itu.
Kebanyakan pengundi dan pemerhati politik yang rata-rata bersikap konservatif lebih yakin dengan kemungkinan menafikan dua pertiga majoriti.
Namun, strategi PKR yang menuntut, gambil dan bertanding lebih dua pertiga dari 71 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak mungkin memaksa para pemimpinnya untuk berkempen menawan negeri daripada sekadar menafikan dua pertiga majoriti.
Apa pun strategi itu gagal dan kesannya PKR hanya menang tiga kerusi.
Hebat juga kerana sebelum ini PKR hanya mempunyai satu kerusi DUN.
Memang PKR dan Pakatan boeh menyalahkan BN yang memperguna serta menyalahgunakan jentera kerajaan. Memang media massa yang dikuasai BN berat sebelah dan terang-terang berkempen untuk Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan BN.
Namun, dengan tekanan yang hebat dan zalim itu, DAP masih mampu meraih 12 dari 15 kerusi yang ditandinginya. Itu pun 15 kerusi yang diperolehi selepas rundingan dengan PKR walau pun pada mulanya DAP mahu bertanding di 20 kawasan DUN.
Kesan yang lebih besar kepada Pakatan ialah usaha menghadapi PRU akan datang. Kemampuan PKR di Sarawak akan menjadi bahan propaganda Umno dan BN. Ini ditambah pula dengan PAS yang diberi lima kerusi di Sarawak telah pulang dengan tangan kosong.
Yang perlu sekarang ialah bagi PKR menilai semula strategi – bukan sahaja strategi dan taktik pilihan raya – tetapi kedudukannya bersama DAP dan PAS serta parti-parti sahabat di Sarawak dan Sabah.
Ketiga-tiga parti ini perlu duduk bersama melihat diri sendiri – siapa mempunyai jentera paling ampuh, siapa mempunyai pemimpin dan calon berwibawa, siapa mempunyai perencanaan dan rancangan yang lebih jelas serta jitu, dan siapa patut membuat apa.
Cakap besar dan berlagak “big brother” patut disisihkan. Pembahagian kerusi dan kawasan yang selama ini mengikut kaum dan agama juga perlu satu penilaian semula walau pun ia amat sukar untuk dilaksanakan.
Dengan kerjasama para NGO dan kumpulan-kumpulan yang mesra Pakatan, usaha mendemokrasikan struktur dan amalan perlu diteruskan – membebaskan media, meneluskan amalan kerajaan dan mewujudkan persefahaman antara kaum dan agama.
Kemenangan BN memang sesuatu yang amat membanggakan gabungan pemerintah itu yang masih diselaputi persepsi salah guna kuasa, penyelewengan, tidak adil dan tidak demokratik.
Memang BN sepatutnya menang besar kerana semua media arus perdana berkempen untuknya; semua jentera kerajaan daripada hasil sumber alam dan wang cukai rakyat hanya boleh digunakan oleh para pemimpin BN; kuasa imigresen negeri digunakan untuk menyekat kemasukan beberapa pemimpin NGO dari Semenanjung.
Kemenangan seperti itu memang tidak adil. Dan selama itu BN, sama ada di Sarawak, Sabah dan Semenanjung, terus mengamalkan demokrasi terpimpin yang memastikan rakyat tidak perlu kepada sebarang bentuk ketelusan.
Persoalannya, khususnya untuk renungan Pakatan, jika BN masih diterima rakyat melalui strategi dan taktik yang tidak demokratik itu, apakah langkah seterusnya untuk Pakatan?
Yang lebih penting untuk Pakatan ialah bersiap sedia untuk menghadapi PRU akan datang. Datuk Seri Najib Razak telah pun membayangkan bahawa tarikh PRU akan mengambil kira keputusan PRN Sarawak.
Ini membuka kemungkinan PRU boleh diadakan pada Jun atau Julai ini. Najib dan BN tentunya mahu mengekalkan momentum Sarawak.
Bagi BN, kalau pun DAP juga dilihat mampu mengekalkan momentum Sarawaknya, ia tidak akan dianggap pencabar utama dalam PRU akan datang. Yang penting bagi BN, khususnya Umno, para pemimpinnya melihat PKR dan PAS tidak mampu memberi cabaran yang serius dalam PRU akan datang.
Keadaan ini memerlukan Pakatan Rakyat untuk sama-sama merendah diri mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang ada jika benar-benar serius untuk membangkitkan semula semangat tsunami 2008.
sumber: mimpi senja

1 comment:

Note: Only a member of this blog may post a comment.