Followers

Sunday, February 6, 2011

Pilihan Raya Kecil Kempen ala 'zaman batu', menangkan BN di Tenang? - Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

Sejak sebelum penamaan calon lagi, Umno-BN menjadikan kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang seperti sebuah kawasan yang wujud pada 'zaman batu'.

Pengundi diletakkan 'tahapnya' seperti zaman 'buta huruf' yang semuanya perlu disuap dengan 'kata-kata'(laporan media elektronik) yang setiap hari hanya menanyangkan laporan bagi pihak Umno-BN sahaja.Adapun laporan bagi pihak Pakatan Rakyat, ianya lebih berbentuk menghentam peribadi, menghasut dan memberi gambaran yang cukup negatif kepada rakyat.


Media-media milik mereka menggunakan 'kuasa media' untuk terus memperbodohkan pengundi di Tenang dengan isu-isu murahan yang tidak menjana pemikiran pengundi di sini.

Seperti kata peguam PAS, Hanipa Maiden, Umno-BN ketandusan isu setelah Pakatan Rakyat mendapat sepakan penalti melalui isu penipuan lelongan tanah membabitkan calon BN, Mohd Azahar Ibrahim yang kini sedang berjalan di mahkamah tinggi.

Bagaikan tiada idea, BN memanipulasi isu yang langsung tidak boleh dianggap sebagai isu 'rakyat' dengan memainkan isu peribadi suami calon PAS, Maarof Abdul Mutalib dalam isu Sijil Cuti Sakit.

Isu yang seharusnya tidak menjadi satu titik bengit untuk dihadapkan kepada pengundi, kerana suami Cikgu Mala tidak bertanding sebagai calon menentang BN, bak kata Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar.

Umno bagaikan cacing kepanasan, walaupun mereka tahu gelanggang Tenang adalah'kubu kuat' mereka dan sepatutnya tidak bimbang dengan isu-isu yang diutarakan Pakatan Rakyat.

Tetapi serangan yang dilancarkan Umno-BN di sini kali ini sememangnya cukup 'jahat' dan tidak bertamadun, setiap hari dilagukan dengan kononnya jika memangkah PAS, negara akan tergadai kepada kaum Cina.

Hujahnya 'dangkal' hanya kerana PAS bertahaluf dengan DAP dan KeADILan, PAS kononnya akan menjadi pak turut kepada parti yang dipimpin orang Cina menyerahkan kuasa dan tanah jajahan kepada bangsa lain.

Umno-BN membawa Pulau Pinang sebagai contoh yang kini diterajui DAP, walaupun sebelum DAP menerajui Pulau Mutiara, Umno menyerahkan kepada Gerakan yang juga parti dominasi kaum Cina..

Tidak cukup dengan membuta tulikan pengundi, Umno-BN sering membuat gangguan di ceramah-ceramah PAS terutama di kawasan Felda, seperti Felda Chempelak, Kampung Redong dan Estate di Tenang Stations.

Isu penyelewengan kerajaan Umno-BN yang dibawa Pakatan Rakyat diputarbelitkan oleh media Umno-BN bagi menggambarkan penyelewengan yang dilakukan pimpinan BN sebagai suatu yang tidak membahayakan.

Tidak cukup dengan propaganda murahan, Umno-BN menggunakan jentera kerajaan khasnya polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan, dan paling parah, tentera juga dikerah bagi membantu mereka.

Buktinya, ketika hari pembuangan undi berjalan dalam keadaan banjir melanda beberapa kawasan dan unit peti undi seperti di Redong, Kampung Tenang, dan beberapa kawasan di Pekan Labis, tentera dan pihak berkuasa didakwa menjalankan kerja-kerja pengangkutan disyakki mengeluarkan pengundi BN untuk mengundi.

Umno-BN bak kata Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad menjadikan rakyat 'dungu' dan tidak mampu mengarahkan kotak minda untuk melakukan perubahan.

Menolong rakyat hanya untuk 'musim pilihan raya' tetapi sebaik tamat, macam-macam cerita duka akan menjelma, rakyat hanya mampu ternganga sahaja, katanya.

Mungkin benar kata-kata AJK Perhubungan PAS Johor, Syed Othman Syed Abdullah bahawa Melayu di Johor amnya, Tenang khasnya cukup sukar menerima perubahan kerana 'mereka telah diperendahkan' pemikirannya sejak 53 tahun lalu.

Sudah sampai masanya bak kata seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, PAS menerajui perubahan dan menjadi Duta Penyelamat kepada sebuah perubahan demi kebaikan Islam dan negara..

Namun selagi Umno-BN menggunakan media-media jahat, menggasak agensi kerajaan untuk terus diperkudakan, dan menjadikan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) sebagai 'umno cawangan', maka rakyat akan terus diperbodohkan untuk terus menyokong sebuah kerajaan yang bakal punah akhirnya.

Kemenangan besar Umno-BN di sini sekali lagi membuktikan politik 'zaman batu' yang diamalkan mereka berjaya meyakinkan rakyat untuk sekian kalinya menabalkan seorang yang tiada intergriti.

Azahar yang ada skandal penipuan dan kini berdepan dengan saman RM1.5 juta yang akan dibicarakan 7 februari inilah yang menjadi pilihan hati warga Labis...

sumber: detikdaily

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.