Followers

Sunday, February 20, 2011

Muhyiddin hilang punca di Sarawak — Faekah Husin

Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yasin kepada rakyat Sarawak baru-baru ini menampakkan beliau telah hilang punca akan cara terbaik untuk modal kempen sempena pilihanraya negeri yang dijangka tidak sampai 2 bulan dari sekarang. Sekonyong-konyong Selangor dijadikan sasaran dan modal untuk menakut-nakutkan rakyat Sarawak.

Muhyiddin sepatutnya lebih mendengar rintihan rakyat Sarawak yang ditekan secara berterusan oleh pemimpin diktator tidak kurang dari 30 tahun lamanya. 

Muhyiddin sepatutnya cuba meyakinkan rakyat Sarawak bahawa BN di bawah pimpinannya akan mampu menyelesaikan tanah adat yang menjadi isu utama sejak beberapa dekad lalu. Muhyiddin sepatutnya berusaha supaya rakyat Sarawak percaya yang Taib Mahmud tidak akan lagi memimpin Sarawak. Sekurang-kurangnya Muhyiddin sepatutnya mampu menunjukkan kepada Taib Mahmud bahawa beliau adalah liabiliti kepada BN Sarawak dan berundur.

Di sini kegagalan nyata Muhyidin. Telah menjadi rahsia umum Taib Mahmud adalah bebanan besar yang perlu ditanggung BN Sarawak yang akan turut merentap kejatuhan Putrajaya. Selaku Timbalan Pengerusi BN pusat, Muhyiddin hilang punca di Sarawak. Demi melindungi kegagalan beliau dan kelemahan pentadbiran pusat menangani isu kekebalan Taib, Selangor pula dijadikan sasaran.

Untuk pengetahuan Muhyiddin ketika beliau sibuk melawat Sarawak; dan cuba memberi gula-gula basi BN, sekumpulan rakyat Miri yang bosan dengan penipuan telah datang ke pejabat KEADILAN di Petaling Jaya dengan membawakan memorandum rakyat Miri berkenaan tanah adat yang telah puluhan tahun dimanipulasi pemerintah Sarawak. 

Meskipun Timbalan Perdana Menteri berada di Sarawak namun warga Ulu Niah NCR Oil Palm Project telah memilih menemui KEADILAN kerana mereka tahu Muhyidin tidak mampu menyuarakan hasrat mereka di hadapan Taib Mahmud dan pihak-pihak terlibat.

Dua kali pilihanraya telah berlalu sejak projek ini bermula, namun nasib mereka tetap sama. Tanah adat seluas 3800 ekar tidak tahu khabar berita; dikuti hilang begitu sahaja. Sebaliknya di dalam pertemuan tersebut, Presiden KEADILAN Dato’ Seri Dr Wan Azizah binti Wan Ismail serta beberapa pimpinan KEADILAN telah memberi jaminan bahawa terdapat penyelesaian terbaik untuk masalah tersebut.

Jelas Muhyiddin ternyata lemah dan tidak mempunyai kekuatan politik untuk menyelesaikan kemelut pemerintahan Sarawak sekaligus menangani masalah tanah adat di Sarawak. Menjadikan Selangor sebagai sasaran bertujuan menutup kelemahan beliau namun apa yang berlaku adalah sebaliknya; semakin menyerlahkan lagi kegagalan kepemimpinan beliau.

Rakyat Selangor sebaliknya melihat bagaimana kerajaan PR berhempas pulas memperbaiki sistem yang rosak dan harta benda rakyat Selangor yang selama 52 tahun dirobek pemerintahan BN. Puluhan ribu ekar tanah rakyat Selangor dibolot dan diagih sesama mereka dan kroni; akibatnya puluhan ribu rakyat menderita tertipu.

Semalam, Sabtu 19 Febuari 2011, di Kuala Selangor lebih 1000 orang dari 6000 orang pembeli rumah di projek mega Alam Perdana telah datang menyatakan kekecewaan mereka yang tertipu selama 10 tahun oleh pemerintah lama kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor. 

Kita dimaklumkan ramai dari yang terlibat telah meninggal dunia. Tidak kurang juga yang jatuh muflis akibat dari penipuan ini. Selaku kerajaan prihatin, kita telah merangka satu penyelesaian holistik. Lebih 6000 pembeli rumah teres dan pangsapuri dijangka akan memperolehi rumah-rumah mereka pada Oktober tahun ini. 

Kerajaan negeri juga memberi jaminan penyelesaian projek kepada bank-bank yang memberi kemudahan pinjaman kepada pembeli dan meminta institusi kewangan yang terlibat untuk tidak mengejar para pembeli rumah yang telah dibebani dengan masalah rumah terbengkalai sehingga projek selesai. Baharulah nampak cahaya pada muka-muka mereka yang hadir.

Muhyiddin harus ingat, kerana amalan rasuah lah maka lebih 6000 rakyat Selangor ini menderita selama 10 tahun. Kerana korupsi dan penyalahgunaan kuasalah maka tanah ratusan peneroka Revolusi Hijau tergadai dan mereka hilang mata pencarian. Kerana kerakusan inilah maka BN hilang kuasa pemerintahan di negeri Selangor. Mana mungkin BN mampu mengambil semula Selangor sedang mereka tidak mempunyai kekuatan politik untuk menyelesaikan masalah yang mereka sendiri timbulkan dan mempunyai kepentingan. 

PR yakin rakyat Selangor telah matang berpolitik; baik ia Melayu, Cina mahupun India. Kemelut Alam Perdana adalah contoh kecil namun terbaik, apabila golongan teraniaya ini adalah dari pelbagai kaum meskipun kebanyakkannya Melayu; baik golongan peneroka mahupun para pembeli rumah. 

* Penulis adalah setiausaha politik kepada Mentri Besar Selangor.
 
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

sumber: themalaysianinsider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.