Followers

Monday, February 7, 2011

Isu Sabah: PKR bentuk 'Majlis Presiden'

Ekoran peletakan jawatan Pajudin Nordin sebagai pengerusi majlis pimpinan negerinya kelmarin, PKR membentuk satu badan yang dinamakan Majlis Presiden PKR untuk memimpin parti itu di peringkat negeri buat sementara waktu.

Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pendekatan baru itu untuk memastikan sumber dan gerak kerja PKR Sabah ditumpukan kepada usaha mewujudkan agenda yang lebih adil kepada rakyat Sabah, memandangkan pilihan raya umum ke-13 dijangka diadakan dalam masa beberapa bulan lagi.

"Majlis Presiden ini diamanahkan untuk menghasilkan dokumen manifesto pilihan raya yang menggarab dan melambangkan komitmen PKR Sabah untuk mengembalikan maruah, keadilan dan pembelaan kepada rakyat Sabah.

"Dokumen akhir itu akan menyenaraikan dasar dan janji PKR Sabah dalam isu-isu penting yang dekat dengan rakyat Sabah mencakupi keseluruhan aspek politik, ekonomi dan sosial," kata Dr Wan Azizah.

Dalam kenyataan malam tadi, Dr Wan Azizah juga memberitahu, majlis 11 anggota itu juga dipertanggungjawabkan untuk menjelajah seluruh Sabah untuk mendapatkan maklum balas bagi digarab dalam manifesto yang akan dibentangkan dahulu dalam Konvensyen PKR Sabah pada akhir Mac depan.

Menurut Dr Wan Azizah, tugas anggota majlis itu dibentuk berdasarkan isu besar dan fungsi kerajaan Sabah, bertujuan memberikan fokus dan latihan kepada pimpinan negeri memantau prestasi pentadbiran kerajaan sedia ada dan membina kemahiran pentadbiran yang diperlukan.

"Usaha mewujudkan pemantauan yang tersusun seperti ini diharap akan membawa era baru arus politik yang lebih sihat dan menguntungkan rakyat," katanya lagi.

Sebelas portfolia itu: 1) kewangan, keselamatan dan imigrasi; 2) pembangunan luar bandar; 3) pembangunan infrastruktur; 4) kerajaan tempatan dan perumahan; 5) pembangunan perindustrian dan perhutanan; pembangunan dan pengurusan tanah; 7) kesihatan, pembangunan masyarakat dan hal ehwal pengguna; 8) belia dan sukan; 9) pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar; 11) pendidikan, pembangunan sumber manusia dan kemajuan teknologi maklumat dan 11) pertanian dan industri makanan.

Anggota dan portfolia dalam Majlis Presiden yang dipegangnya akan dinyatakan kemudian, tambah Dr Wan Azizah.

malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.