Rakyat Selangor dari berbilang bangsa mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Polis menahan lebih 100 orang menjelang perhimpunan di KLCC yang dirancang oleh beberapa organisasi masyarakat India pada hari ini.
Hampir semua yang ditahan terdiri dari masyarakat India dan tindakan ini bakal menyemarakkan kebencian masyarakat India terhadap regim UMNO/BN Najib Razak yang merupakan satu bentuk penindasan terhadap masyarakat India yang merupakan etnik ketiga tertinggi di Malaysia.
Tindakan Polis menahan secara besar-besaran ini jelas bertentangan dengan hak berhimpun seperti yang diperuntukan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi Negara.
Kerajaan UMNO/Barisan Nasional harus menghormati hasrat masyarakat India yang ingin menyatakan pendirian mereka dalam isu novel "Interlok" dengan mengadakan perhimpunan secara aman di perkarangan KLCC tersebut, sebaliknya kerajaan UMNO/BN memperalatkan pihak Polis dengan menggunakan tindakan "kuku besi" menahan orang ramai terutamanya berketurunan India di beberapa sekatan jalanraya menghala ke pusat belibelah tersebut.
Seperti laporan yang dipetik dari Malaysiakini dan beberapa laman web yang lain, kita merakam rasa kesal dengan tindakan pihak polis menahan dan seterusnya menggari pemimpin Parti Hak Asasi (HRP) P. Uthayakumar sebaik saja beliau meninggalkan rumahnya pagi ini. Beberapa lagi pemimpin HRP turut ditahan pihak Polis tanpa sebarang waran tangkap seperti yang diperuntukan oleh undang-undang.
Kita menyelar tindakan "berat sebelah" dan "pilih kasih" yang diamalkan oleh pihak Polis. Pihak Polis tidak melakukan tangkapan terhadap pemimpin-pemimpin UMNO, GAPS dan PERKASA semasa mereka berarak beramai-ramai ke bangunan SUK, Shah Alam dalam isu hangat perlantikan Khusrin sebagai SUK baru-baru ini, sebaliknya dikhabarkan pihak Polis turut mengiringi perarakan tersebut. Beberapa lagi perarakan dan perhimpunan yang diadakan oleh gerombolan UMNO/BN di hadapan bangunan kerajaan Negeri Selangor itu bukan sahaja tidak dihalang sebaliknya pihak Polis sekadar membiarkan ianya berjalan tanpa mengambil sebarang tindakan seperti apa yang berlaku hari ini.
Apakah pihak Polis mengamalkan dasar "warna kulit", tindakan keras hanya diambil terhadap kaum India sahaja tetapi bersikap "menikus" terhadap orang "Melayu" UMNO?
Lantaran itu Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor meminta Hishamuddin Hussein, Menteri dalam Negeri untuk "serta merta" membebaskan P. Utthayakumar serta yang lain-lain tanpa sebarang syarat.
Kita ingin tegaskan di sini bahawa dunia antarabangsa sedang memerhati tindakan kerajaan dalam menangani isu rakyat.
Kerajaan harus diingat bahawa kebangkitan rakyat yang berlaku di Mesir, Tunisia, Bahrain dan sekarang ini di Libya adalah ekoran rasa tidak puas hati rakyat yang sekian lama ditindas oleh kerajaan. -MR
*Kenyataan media oleh Xavier Jayakumar selaku EXCO Kerajaan Negeri Selangor.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.