![]() |
| Kerajaan Perpaduan Hanya Mimpi Ngeri UMNO |
Selain PAS, Pakatan Rakyat turut disertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
“Najib boleh bermimpi kalau nak ajak PAS (bergabung),” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat ini.“Umno sudah ditimpa mala petaka,” kata Anwar ketika menyampaikan ceramah pada program Solat Hajat dan Pidato Perdana anjuran PAS di Stadium Malawati di sini malam tadi.
Perhimpunan malam, yang dikatakan sudah dirancang lebih awal, diadakan ketika Pakatan Rakyat berhadapan dengan isu kontroversi pertemuan 24 Disember dan juga krisis perlembagaan negeri Selangor.
Pertemuan 24 Disember dikatakan menyentuh soal kerjasama politik PAS-Umno dan ia bukan kali pertama soal itu muncul sejak negara menyaksikan pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.
Penasihat PKR itu berkata, Umno sudah tidak mempunyai “modal” untuk menyerang Pakatan Rakyat.
“Umno dah habis fikiran, dah guna macam-macam perkara, diserang begitu kuat dalam Utusan Malaysia, mereka dah habis ikhtiar.
“Ingat Umno kuat? Tidak... Umno hidup kerana menyemarakkan api sentimen perkauman.
“Kalau kita boleh jawab, Umno dah lama habis. Umno juga hidup dengan slogan, tanpa Umno habis orang Melayu,” katanya.
Dalam ceramah itu, ketua pembangkang itu berkata, kontroversi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor adalah “isu kecil.”
“Isu SUK adalah isu kecil yang mampu kita tangani, kita punyai mandat untuk menjayakan kepentingan rakyat.
“Ini yang akan kita teruskan, Umno tidak kuat jadi kita kena lawan,” kata Ketua Umum PKR ini.
Beliau juga menggesa supaya kepimpinan kerajaan negeri Selangor, diketuai Tan Sri Khalid Ibrahim supaya “menyerang” dengan agresif serangan dibawa Umno-Barisan Nasional (BN).
“Selangor dianggap mutiara bagi Umno, sudah ada kuasa pusat tapi masih resah. Mereka fikir macam-macam nak rampas seperti kes terbaru (isu SUK), ia adalah drama.
“Kita kena pertahankan Selangor dan pastikan pentadbiran berjalan dengan baik, kuasa ada di tangan kita.
“Kita juga kena lawan, serang semula Umno... kenapa mesti bertahan? Pendirian Pakatan Rakyat adalah
pertahankan Perlembagaan (Persekutuan), tak perlu kita jelaskan kepada Umno,” katanya.
“Kalau Umno halang, jangan bertahan... kita serang. SUK bukan masalah,” kata Anwar yang bulan lalu digantung selama enam bulan daripada menghadiri Parlimen.
Beliau turut menyifatkan Umno-BN sudah “tiada keyakinan” sehingga terpaksa mengadakan pertemuan dengan dengan semua ahli Parlimen gabungan 13 parti komponen itu.
Sejak Datuk Mohd Khusrin Munawi diumumkan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, kerajaan negeri Selangor pimpinan Khalid tidak bersetuju dengan pelantikan itu yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada 27 Disember lalu selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Malah Khalid juga berkata, satu sidang Dewan Undangan Negeri khas akan diadakan hujung bulan ini untuk meminda perlembagaan negeri bagi mengembalikan kuasa lantikan tiga pegawai eksekutif kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.
Dengan meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri akan dikembalikan kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.
Khalid juga berkata, majlis angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri di hadapan Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri akan ditunda sehingga keputusan dicapai pada sidang khas itu.
Khusrin yang juga bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) secara rasmi memulakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri minggu lalu.
SHAH ALAM, 10 Jan — Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat sudah menyelesaikan kontroversi berhubung pertemuan kepimpinan PAS bersama Umno sempena santapan di Istana Terengganu 24 Disember lalu.
Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, Pakatan Rakyat sudah dimaklumkan mengenai pertemuan bulan lalu, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya pada majlis santapan anjuran Yang di-Pertuan Agong.
“Tidak perlu nak panjangkan lagi, kita sudah ambil maklum,” katanya.
“Tiada masalah dan tafsiran lain (pertemuan 24 Disember) itu,” kata Anwar pada sidang media selepas program Solat Hajat dan Pidato Perdana di Stadium Malawati malam tadi.
Sebelum menghadiri program anjuran PAS itu, Anwar dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terlebih dahulu telah mengadakan pertemuan bagi membincangkan soal “pertemuan 24 Disember” itu.
Pada sidang media yang diadakan malam tadi, Hadi berkata, pihaknya telah menjelaskan “pertemuan 24 Disember itu” kepada Pakatan Rakyat.
“Kita sudah maklumkan, kita juga sudah buat kenyataan terbuka mengenainya (pertemuan 24 Disember).
“Bila kita maklumkan tidak perlu saya beritahu, jadi jangan nak soal siasat macam polis,” kata Ahli Parlimen Marang.
Dalam laporannya petang semalam, The Malaysian Insider menyebut, Anwar dan Hadi dijangka mengadakan pertemuan petang semalam - langkah yang dilihat bertujuan menjernihkan hubungan Pakatan Rakyat yang bermula dengan siri isu sejak awal tahun ini.
Pertemuan tertutup itu diadakan beberapa jam sebelum majlis solat hajat dan ceramah perdana di sini.
Agenda utama perjumpaan Ketua Pembangkang dan Presiden PAS itu dikatakan memfokus pertemuan 24 Disember.
Ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat ahli jawatankuasa kerja pusat di ibu negara semalam, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya bersedia untuk memberi penjelasan kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat jika perlu.
Pertemuan 24 Disember juga disentuh pada mesyuarat semalam, kata beliau.
Jumaat lalu, Najib mengambil langkah Nik Aziz untuk tidak mendedahkan hasil pertemuan bersama pemimpin parti itu 24 Disember lalu, yang dihadiri atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Sebagai langkah menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri juga memutuskan untuk tidak berkongsi maklumat mengenai pertemuan sempena majlis santapan di Istana Terengganu.
“Kami kena menghormati persefahaman pertemuan dan Yang di-Pertuan mahukan ia satu majlis peribadi,” kata Najib pada sidang media di sini hari ini.
Najib berkata beliau bersama pemimpin-pemimpin PAS menghadiri majlis makan malam demi menghormati undangan Yang di-Pertuan Agong.
“Sebab itu kami hadir. Itu sahaja. Tiada komen lagi,” kata Najib yang diminta mengulas mengenai laporn The Malaysian Insider awal minggu lalu.
Dalam kenyataan terbaru sehari sebelum itu, Nik Aziz menyifatkan perkara tersebut telah selesai dan tidak perlu dibincangkan lagi.
“Tak ada dah, tutup ‘book’ (buku) dah,” kata beliau.
sumber: pencacai SeMalaysia

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.