Followers

Monday, January 24, 2011

Presiden MCA Tidak Bertamadun - Ditulis oleh Najib

LABIS 24 JAN: Perbuatan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek menggunakan sentimen agama sebagai kempen Barisan Nasional mendapat kritikan kepimpinan Pakatan Rakyat dalam sesi ceramah di sekitar Labis, malam tadi.

Di Bilik Gerakan DAP Pekan Labis, Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan tindakan parti komponen MCA dengan memburukkan nama Islam di kalangan bangsa Cina adalah tidak bertamadun.

Jelasnya, calon wanita yang diketengahkan Pakatan Rakyat adalah calon terbaik untuk kepentingan semua masyarakat justeru mempunyai prinsip yang teguh dalam perjuangan memartabatkan masyarakat setempat.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Umno-Barisan Nasional akan tetap memutar-belitkan situasi sekiranya calon wanita PAS-Pakatan Rakyat, Normala Sudirman bersalaman dengan orang lelaki kerana tidak memegang kepada prinsip agama Islam.

"Dia bukan soal dia tidak suka lelaki Cina dia tidak salam atau dia tidak suka orang India lelaki dia tidak mahu salam. Ini dia punya prinsip dan dia pegang," tegas beliau di hadapan kira-kira 200 orang yang hadir di Jalan Tenang malam tadi.

Khalid menambah, selepas Pakatan Rakyat disatukan, maka masyarakat boleh melihat kerjasama yang wujud antara ketiga-tiga parti berbanding parti komponen Barisan Nasional yang cuba menakut-nakutkan kekuatan kaum masing-masing.

Jelasnya, kerjasama yang wujud di kalangan ahli parlimen Pakatan Rakyat bukan untuk jadi kaya tetapi mengangkat agenda membantu rakyat justeru menyatukan keupayaan kaum masing-masing untuk kepentingan bersama.

"Kita semua faham orang Melayu, Cina dan India ada kekuatannya. Sepatutnya satu kerajaan yang bertanggungjawab, dia mahu ketiga-tiga kaum menggunakan masing-masing punya kekuatan jadikan Malaysia ini negara nombor satu di dunia, betul atau tidak?" soal beliau.

Tambahnya lagi negeri-negeri yang diperintah kerajaan Pakatan Rakyat tidak mempunyai sebarang masalah walaupun mempunyai kepimpinan yang berlainan bangsa seperti Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

"Tidak ada paksa mana-mana pihak untuk tunduk  kepada bangsa-bangsa yang tertentu. Kita tidak macam Umno yang cakap ketuanan Melayu. Dia mahu semua bangsa jadi nombor dua. Kita daripada PAS kata semua bangsa ini Tuhan yang jadikan. Tidak ada mana-mana bangsa yang jadi tuan," katanya lagi.

Dalam majlis yang sama, Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo berkata, rakyat di DUN Tenang tidak perlu mengambil berat terhadap kenyataan Presiden MCA itu kerana jelasnya ia merupakan standard rendah MCA dan juga Umno-Barisan Nasional untuk memenangi hati rakyat berikutan keselesaan yang telah dikecapi sejak sekian lama.

"Ini menjadi standard MCA dan Umno. Nasib baik mereka telah halau Samy Vellu dari MIC. Kalau tidak halau hari ini saya hentam sama dia. Kerana dia sudah pergi kita biar sama dia, jangan buang masa," katanya.

Dalam sesi ceramahnnya, Gobind yang juga seorang peguam turut menempelak standard sistem penghakiman di negara Malaysia yang telah jatuh berikutan kawalan kerajaan terhadap Ketua Hakim Negara, Tan Seri Ghani Patail.

Justeru beliau optimis masyarakat di DUN Tenang akan memberi sokongan kepada calon PAS-Pakatan Rakyat, Normala Sudirman atau Cikgu Mala yang akan ditentukan pada 30 Januari nanti.

"Kita dalam Pakatan Rakyat berjanji, kalau diberi undi kita akan pastikan yang diutamakan itu adalah rakyat di dalam DUN Johor. Kita telah bercakap berulang kali. Kita telah berkorban untuk kepimpinan kita. Saya merayu di sini supaya memberi sokongan penuh kepada calon PAS."

END

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.