Followers

Thursday, January 20, 2011

MELAYU SINGAPURA HENTAM MAHATHIR ???

Baca dibawah ini dalam FORUM di Singapura !

16 Jan 2011 

FORUM

Selidik dulu sebelum buat teguran

KAMI sekeluarga, juga warga Singapura, bersetuju dengan pandangan Haji Salim Haji Ahmad dan Encik Eusope Musawa berkaitan kenyataan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkaitan orang Melayu Singapura.

Sebelum membuat apa-apa kenyataan tentang orang Melayu Singapura, diharap Dr Mahathir menyelidik dulu keadaan kami.

Kami orang Melayu Singapura berasa senang hati dan bersyukur kerana pemerintah Singapura menjalankan amanah dengan telus. Walaupun Singapura bukan negara Islam, kebanyakan undang-undang di sini tidak ada yang bercanggah, malah sejajar, dengan ajaran Islam.

Selain itu, kami berharap janganlah Dr Mahathir selalu memburukkan dan memberi contoh dengan menyatakan orang Melayu Singapura terpinggir dan tersisih.

Kami tidak berasa sedemikian, malah kami berbangga menjadi rakyat Singapura kerana pemerintah Singapura telah membantu masyarakat ini.

Janganlah Dr Mahathir selalu mencari kesalahan orang lain, malah muhasabahlah diri sendiri dan apabila melihat cermin, kita tengok wajah kita yang mana harus diperbaiki dan dibersihkan, bukan melihat wajah orang lain, umpamanya.

Kami orang Melayu Singapura selalu melihat ke arah positif dan tidak mahu menjadikan budaya kami sebagai masyarakat yang terlalu meminta-minta daripada pemerintah. Sebaliknya, kami berusaha dengan gigih dan bersaing dalam apa bidang pun.

Pemerintah Singapura juga prihatin dengan masalah yang kami hadapi dan akan terus membantu kami untuk bangun dan berdikari.

Kemungkinan Dr Mahathir berurusan dengan seseorang individu (rakyat Singapura) yang tidak berpuas hati atas beberapa dasar pemerintah Singapura kerana tidak dapat memenuhi kepentingan diri sendiri.

Namun ingatlah, tidak ada satu pun negara dapat memenuhi cita rasa semua rakyat mereka.
Kami tidak mahu menyentuh tentang ehwal kerajaan Malaysia kerana itu isu mereka dan sensitif.

Sebagai Muslim, memang dilarang membuka pekung orang lain. Allah swt berfirman, yang antara maksudnya ialah “jika kita menutup aib orang lain, nescaya Allah swt akan menutup aib kitaâ€.

Bermuhasabahlah.

Hajah Kamariah Lim Li Hwa



SINGAPURA 20 JAN: Bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad telah menjadi topik hangat di sini apabila ulasan-ulasannya mengenai nasib Melayu Singapura menjadi polemik dan mendapat kritikan pedas beberapa orang Melayu setempat. 

Akhbar Berita Harian Singapura telah menyiarkan beberapa surat daripada pembacanya sepanjang minggu lepas yang mengecam Dr Mahathir kerana sering memberi ulasan mengenai nasib Melayu republik itu yang telah terpinggir dan ketinggalan.  

Dalam ruangan forum akhbar itu, seorang pembaca Haji Sallim Haji Ahmad menulis bahawa beliau rasa tercabar mengikuti ulasan Dr Mahathir yang membuat kenyataan yang tidak berasas bahawa Melayu republik itu terpinggir dan tertinggal.

“Inilah hujah kegemarannya yang pedas dan luncas setiap kali mempersoalkan masalah yang menghambat Melayu Malaysia yang belum lagi terpinggir pada logika Dr Mahathir. 

“Kekerapan ungkapan yang menjadi sandarannya ialah menegaskan bahawa Melayu Singapura terpinggir sehingga akhir dunia,” kata Sallim. Katanya Dr Mahathir yang terbuai dengan populariti di alam siber dan blog suka menggunakan Melayu Singapura sebagai contoh. 

Penulis itu juga mempertahankan kedudukan Melayu Singapura dengan menyatakan kaum itu maju tanpa menagih subsidi dan kedudukan agama Islam di sini terpelihara dan berkembang walaupun ia bukan agama rasmi.

“Kita tidak kontang jenayah, tapi yang ditugaskan beramanah. Rasuah di sini wujud, tetapi tahapnya tidak mengejut. Sumbang mahram itu keji, dahsyat lagi buang bayi. Mat Rempit bukan hambatan, tabiat lepak bukan amalan,” ungkap Sallim.

Seorang lagi pembaca, Hajah Kamariah Lim Li Hwa menegur Dr Mahathir bahawa sebelum membuat apa-apa kenyataan tentang orang Melayu Singapura, diharap beliau “menyelidik dulu keadaan kami. “Kami orang Melayu Singapura berasa senang hati dan bersyukur kerana pemerintah Singapura menjalankan amanah dengan telus,” katanya. Menurutnya, walaupun Singapura bukan negara Islam, kebanyakan undang-undang di sini tidak ada yang bercanggah, malah sejajar, dengan ajaran Islam, lapor Bernama.

Hajah Kamariah berkata kemungkinan Dr Mahathir (bersikap demikian kerana) berurusan dengan seseorang individu (rakyat Singapura) yang tidak berpuas hati atas beberapa dasar pemerintah Singapura kerana tidak dapat memenuhi kepentingan diri sendiri. 

Seorang lagi pembaca, Eusope Musawa menulis Melayu Singapura hidup dengan selesa dan 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi', dan mereka ada kebebasan dalam hal agama dan pelajaran mereka juga setaraf dengan penduduk masyarakat lain. 

“Tun Dr Mahathir sepatutnya menasihatkan orang Melayu Malaysia agar belajar daripada orang Melayu Singapura bagaimana boleh maju. Saya berharap kenyataan beliau akan membakar semangat orang Melayu setempat untuk terus maju,” tulis Eusope.  

Bagaimanapun, seorang pembaca yang menamakan diri beliau, Walid Jumblatt Abdullah menulis dalam forum akhbar itu semalam, bahawa beliau amat gembira sekali apabila melihat masyarakat Melayu Singapura bergegas menyangkal kritikan Dr Mahathir. 

Katanya, “Alangkah baiknya kalau masyarakat Melayu begitu cepat sekali bertindak ketika masalah-masalah seperti keluarga pincang, keruntuhan akhlak, keputusan pelajar kurang memuaskan berbanding kaum lain dan sebagainya timbul untuk menangani masalah-masalah tersebut.”TVS.

Posted by TINTA HIJAU DARI KAKI BUKIT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.