Followers

Saturday, January 8, 2011

KISAH DAN TAULADAN..IKHLASKAN PERJUANGAN HANYA KERANA ALLAH



ini president kita...
hensem bhai ketua kita ni..
tapi gambar ni xda kena mengena dgn n3 dibawa..
sekadar gambar hiasan jek...
kahkahkah

KISAH DAN TAULADAN..IKHLASKAN PERJUANGAN HANYA KERANA ALLAH

Pada suatu ketika di suatu daerah, terdapat seorang Abid yang amat dikenali dan dihormati oleh masyarakat di daerah tersebut kerana ibadahnya dan taqwanya kepada Allah. Semua ibadat yang dilakukan olehnya ikhlas dilakukan kerana Allah SWT.

Pada suatu hari telah datang kepada si Abid seorang penduduk daerah tersebut yang mengadukan suatu hal. Penduduk tersebut berkata kepada beliau

"Wahai tuan, saya mendapat tahu ramai penduduk daerah ini yang telah melakukan perbuatan syirik kepada Allah SWT'"

Si Abid lantas bertanya kepada penduduk tersebut

"Perbuatan syirik apakah yang telah dilakukan tersebut wahai saudara?"
 Penduduk tersebut menjawab
"Mereka telah melakukan kesesatan dengan menyembah sebatang pokok yang besar wahai tuan"

Mendengarkan pengaduan tersebut, si Abid dengan perasaan yang amat marah terus bangun dan mengambil sebilah kapak. Setelah mendapat maklumat dari penduduk tersebut tentang di mana terletaknya pokok tersebut, si Abid tersebut dengan membawa kapak terus keluar dari rumah beliau untuk menuju ke tempat dimana terletaknya pokok tersebut.  
Tujuan si Abid adalah untuk menebang pokok tersebut bagi mengelakkan penduduk daerah tersebut berterusan melakukan dosa syirik terhadap Allah SWT. Semasa dalam perjalanan menuju ke tempat di mana terletaknya pokok berkenaan, si Abid telah bertemu dengan seorang lelaki tua yang berjubah serta berserban. Lelaki tua tersebut telah menghalangi perjalanan si Abid.

Si Abid yang marah kerana dihalang perjalanannya lantas berkata kepada lelaki tua tersebut


"Wahai orang tua! janganlah engkau menghalangi perjalananku ini"


Lantas lelaki tua tersebut bertanya kepada si Abid berkenaan

"Hendak kemanakah kamu dengan tergesa-gesa sebegini?"

Si Abid lantas menjawab

"Aku hendak menebang sebatang pokok besar yang telah menyebabkan kesesatan kepada penduduk daerah ini"

Lelaki tua tersebut kemudiannya berkata


"Tak usahlah engkau pedulikan tentang penduduk daerah ini. Biarkan mereka dengan kesesatan mereka. Tak perlu engkau hiraukan mereka dan engkau buatlah ibadahmu kepada Allah sebanyak yang mungkin"


Si Abid merasa amat marah dengan kata-kata lelaki tua tersebut lantas berkata


"Mana mungkin aku membiarkan penduduk-penduduk daerah ini terus berada di dalam kesesatan. Adalah tanggungjawabku untuk menyedarkan mereka. Janganlah engkau terus menghalang aku wahai orang tua"


Lelaki tua tersebut walaubagaimanapun terus berdegil dan tetap menghalang perjalanan si Abid tersebut.  Marah kerana perjalanannya terus dihalang, maka berlakulah pergelutan antara si Abid dengan lelaki tua tersebut.  Setelah beberapa ketika bergelut, si Abid telah berjaya menewaskan lelaki tua tersebut dan si Abid berkenaan bersedia untuk meneruskan perjalanan. Namun secara tiba-tiba, lelaki tua tersebut bersuara


"Wahai Abid! Janganlah engkau meneruskan niatmu untuk menebang pokok tersebut. Biarkanlah penduduk-penduduk daerah ini dengan kesesatan mereka.  Pulanglah engkau kembali ke rumahmu dan teruskan ibadatmu sebanyak mana yang engkau mahu.  Sebagai tukarannya, akanku berikan kepadamu wang emas setiap hari.  Setiap pagi apabila engkau bangun dari tidur engkau lihatlah di bawah bantalmu. Disitulah akan kau dapati wang emas yang banyak dan engkau tidak perlu lagi bersusah payah untuk bekerja"


Mendengar kata-kata lelaki tua tersebut, si Abid lantas berfikir.  Hatinya sudah mula goyah dengan tawaran wang emas tersebut.  Setelah beberapa ketika berfikir, si Abid lantas bersetuju dengan tawaran lelaki tua tersebut dan beliaupun pulang ke rumahnya.  Setibanya di rumah, si Abid terus beribadat kepada Allah sepanjang masa.  Apabila beliau bangun dari tidur keesokannya, beliau terus membelek bantal tidurnya dan beliau mendapati memang benar terdapat wang emas yang banyak di situ.  Si Abid merasa amat gembira dengan keadaan tersebut dan beliau terus melakukan ibadah kepada Allah seperti biasa.  Keadaan itu berlanjutan untuk beberapa hari dan si Abid merasa amat gembira kerana setiap pagi beliau mendapat wang emas yang banyak.


Pada suatu pagi apabila bangun dari tidur, si Abid dengan hati yang berbunga-bunga terus membelek bantalnya.  Tapi alangkah terperanjatnya beliau kerana beliau dapati tiada lagi wang emas seperti biasa.  Si Abid merasa amat marah kerana merasakan telah ditipu oleh lelaki tua.  Beliau lantas mencapai kapak dan terus keluar dari rumah untuk menebang pokok yang telah menyebabkan kesesatan penduduk-penduduk daerah itu.  Setiba dipertengahan jalan beliau sekali lagi telah dihalang oleh lelaki tua yang sama.


Si Abid dengan perasaan marah yang membuak-buak di hati lantas berkata


"Wahai orang tua, engkau telah membohongiku. Sekarang aku akan tetap menebang pokok besar yang telah menyebabkan kesesatan kepada penduduk-penduduk daerah ini dan janganlah engkau halangiku lagi".


Namun begitu, lelaki tua tersebut tetap menghalang perjalanan si Abid dan tidak membenarkan beliau untuk menebang pokok besar tersebut.  Akibat terus dihalang, maka berlakulah pergelutan sekali lagi antara si Abid dengan lelaki tua tersebut.  Di akhir pergelutan tersebut si Abid telah tewas ditangan lelaki tua tersebut.


Si Abid yang hairan dengan kekalahan beliau lantas berkata


"Wahai lelaki tua! kenapa kali ini aku tewas ditanganmu sedangkan dahulu engkau yang tewas? Sepatutnya aku yang menang kerana engkau sudah tua"

Lelaki tua lantas menjawab

"Dulu engkau menang kerana pada masa itu dalam hatimu engkau ikhlas kerana Allah untuk menebang pokok besar tersebut.  Sekarang engkau tewas ditanganku kerana dihatimu sudah tidak ada lagi keikhlasan kepada Allah. Sekarang engkau ingin menebang pokok besar itu kerana engkau marah akibat tidak mendapat wang emas setiap hari"


Setelah berfikir dan mendapati kebenaran kata-kata lelaki tua tersebut, si Abid kemudiannya bertanya


"Siapakah engkau yang sebenarnya wahai orang tua?"


Lelaki tua tersebut lantas menjawab


"Akulah Iblis yang kerjaku adalah untuk menyesatkan umat manusia"


Lelaki tua tersebut seterusnya berkata lagi

"Sekarang ini tak perlu lagi engkau befikir untuk menebang pokok besar itu kerana hatimu sudah tidak ada lagi keikhlasan kepada Allah.  Engkau tidak akan berjaya menewaskan aku lagi sepertimana dahulu kerana dulu engkau ikhlas kerana Allah dan Allah membantumu untuk menewaskanku.  Sekarang engkau tewas kerana Allah tidak lagi membantumu. Pergilah engkau dan pulanglah engkau ke rumahmu"

Si Abid kemudiannya meninggalkan tempat tersebut dengan seribu penyesalan.


NOTA:

1. Ikhlaskan perjuangan dan ibadah kita hanya kerana Allah SWT. InsyaAllah dengan perjuangan yang ikhlas kerana Allah, kita akan mendapat bantuan dari Allah SWT
2. Syaitan dan iblis sepanjang masa akan berusaha untuk menyesatkan umat manusia.  Berhati-hatilah kita agar kita tidak terjebak dengan hasutan serta pujukan syaitan dan iblis
3. Jangan kita khianati perjuangan hanya untuk mendapatkan ganjaran duniawi kerana semua itu adalah bersifat tidak kekal dan kita akan kecewa juga akhirnya.

Allahuakbar...Allahuakbar...Allahuakbar

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.