Followers

Saturday, December 25, 2010

TPM YaNG Juga Menteri Pelajaran Perlekeh Peranan Guru Guru ?


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan kenyataan menteri pelajaran baru-baru ini yang didakwanya telah memperlekehkan peranan guru sebagai pembina negara.

Ianya berhubung hasrat Pakatan Rakyat untuk memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 kepada semua pegawai dan guru yang bertanggungjawab dalam sistem pendidikan.

"Beliau menyebut bahawa tindakan memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap orang setiap bulan, akan menyebabkan Malaysia muflis," kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaliknya, Anwar yang juga ketua umum PKR berkata, Pakatan telah meneliti kesan kewangan dari pelaksanaannya.

"Kita mengambil kira bahawa terdapat 537,221 jawatan dalam perkhidmatan pendidikan termasuklah pengurusan kementerian (24,153), dasar dan pembangunan pendidikan (4,059), operasi pendidikan (498,399) dan pembangunan profesionalisme keguruan (10,610).

"Usaha menaiktaraf mutu pendidikan negara bermula dengan reformasi pendidikan dari pihak atas (penggubalan dasar, pembangunan keguruan) sehinggalah ke tahap pengajaran di bilik darjah (keberkesanan pembelajaran dan pengajaran)," katanya lagi.

Menurut Anwar, imbuhan khas pendidik itu akan menelan belanja RM3.2 bilion setahun.

"Jumlah ini adalah kecil jika dibandingkan dengan pembaziran lain yang kini berleluasa di bawah Umno/BN.

"Kos perbelanjaan semua lawatan perdana menteri ke luar negara setakat ini sebanyak RM8.7 juta boleh menanggung imbuhan bagi 1,450 guru.

"Bayaran kepada APCO sebanyak RM77 juta bagi tahun 2009 boleh menampung imbuhan bagi 12,800 guru iaitu keseluruhan tenaga kerja
yang membangunkan profesionalisme keguruan," katanya.

Selain itu, tambahnya, pembaziran Umno/BN sebanyak RM131 juta bagi menampung perbelanjaan perunding dan kos operasi PEMANDU bagi tahun 2010, boleh membayar imbuhan bagi 21,833 lagi guru, iaitu hampir keseluruhan tenaga kerja kementerian.

"Ini belum lagi pembaziran mega seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada sektor korporat dan kroni, kos menyelamatkan kroni

yang melibatkan Empangan Bakun sebanyak RM6 bilion dan ketirisan akibat rasuah yang dianggarkan mencecah RM28 bilion setiap tahun.

"Justeru, persoalan sama ada negara mampu membayar imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap bulan ini tidak timbul. Perkara yang sebenar adalah keikhlasan Umno/BN untuk mengangkat martabat pendidikan di negara ini," katanya.

Hakikatnya, tegas Anwar lagi, bidang pendidikan tidaklah berada di dalam senarai kepentingan Umno/BN.

Menurutnya, isu kualiti pendidikan ditimbulkan sejak sedekad lalu, tetapi sehingga kini tidak ada satu langkah konkrit untuk mengiktiraf sumbangan guru di samping memastikan kerjaya perguruan menarik minat calon berkualiti tinggi.

"Langkah Pakatan Rakyat memperkenalkan imbuhan ini adalah langkah pertama ke arah memartabatkan kerjaya perguruan setaraf dengan kerjaya profesional lain seperti jurutera, doktor dan akauntan," tegas Anwar.

Semalam, tambahnya, akhbar melaporkan persetujuan perdana menteri untuk menubuhkan badan perundingan khas untuk menyelesaikan isu-isu perkhidmatan perguruan.

"Perkara ini telah disyorkan CUEPACS sejak tahun 2002 lagi - tetapi hanya selepas Pakatan membuat cadangan yang konkrit untuk menaikkan martabat perguruan, Umno/BN memberikan reaksi cemas.

"Baru sekarang, perdana menteri mahu mendengar keluh kesah guru-guru yang bergelumang dengan pelbagai masalah setiap hari. Ini bukanlah caranya kita merancang kebajikan pendidikan negara.

"Tanggungjawab menjaga kebajikan guru-guru bukanlah satu reaksi yang hanya ada tindakan apabila Pakatan bersuara.

"Pakatan percaya tindakan utama yang perlu diambil untuk memulihkan kualiti pendidikan negara adalah dengan menjaga kebajikan guru secara berterusan dan bertanggungjawab.

"Oleh itu, jumlah RM3.2 bilion setiap tahun bukanlah jumlah yang terlalu besar demi masa depan anak-anak Malaysia," tegas Anwar.

MK


Read more: http://biaqpila.blogspot.com/2010/12/menteri-pelajaran-perlekeh-peranan-guru.html#ixzz194Q9Ep4K

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.