Followers

Saturday, December 25, 2010

Risalah perkauman: DAP buat laporan polis - Khairil Abdul Rahim

BENTONG, 25 Dis: Susulan penyebaran risalah berbentuk poster yang berbau hasutan dan perkauman yang banyak ditampal oleh pihak tertentu di daerah ini, DAP Bahagian Bentong telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) di sini.

Setiausaha DAP Pahang, Choong Siew Onn berkata, laporan polis terpaksa dibuat dan meminta pihak berkuasa itu menjalankan siasatan rapi kerana kewujudan risalah provokasi bertajuk ‘Kedudukan agama Islam tercabar’ sangat serius sehingga boleh mengganggu gugat ketenteraman penduduk di daerah ini.

Choong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teras berkata, kelmarin (Rabu) Pengerusi DAP Bentong Ching See Thai telah memberitahunya berhubung risalah yang tertampal di dinding banyak bangunan dan kedai makan berhampiran stesen minyak di bandar Bentong dan pergi melihatnya sendiri.

Menurutnya, risalah tersebut turut memaparkan gambar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan hamburan kata-kata kesat.

“Apa yang tertulis pada risalah itu termasuk penjualan arak secara terbuka tidak boleh dihalang, kuil dibina di kawasan majoriti masyarakat Melayu, kalimah Allah boleh diguna bukan Islam dan kepala pemimpin Melayu dipijak.

“Selain itu, ia turut menyentuh mengenai perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang diharamkan oleh DAP dan seakan-akan mempertikaikan suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen dalam Pakatan Rakyat berhubung isu agama Islam semakin terhakis akibat tunduk kepada DAP,” katanya.

Tambah Choong, DAP memandang serius pengedaran risalah seumpama itu kerana boleh menimbulkan suasana tegang dan membakar api perkauman dalam masyarakat berbilang kaum yang mempunyai fahaman dan pegangan agama masing-masing.

Menurutnya, beliau difahamkan risalah seumpama ini ada ditampal di tempat-tempat tertentu yang ditandingi oleh DAP dalam pilihan raya seperti di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Perak.

“Bagi kami (DAP Bentong) taktik kotor ini sangat berbahaya kerana menghasut dan mencabar kesabaran kaum meskipun kami tidak tahu pihak mana yang melakukannya. Justeru itu kami berharap pihak berkuasa bertindak segera untuk mengelakkan ia berlarutan,” katanya.

HARAKAH

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.