Hanya 10 peratus atau 1 daripada 10 rumah yang terlibat dalam rancangan pembinaan hab pendidikan Pulau Pinang di Pondok Upeh, Balik Pulau adalah milik orang Melayu, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Lim berkata, berdasarkan statistik ini jelas membuktikan Umno sengaja memainkan isu perkauman untuk menghasut orang Melayu membenci kerajaan Pakatan Rakyat yang tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum di negeri ini.
“Fitnah dan tohmahan Umno ini terus dilakukan walaupun rancangan murni kerajaan negeri Pulau Pinang itu melahirkan lebih ramai cendiakawan tempatan dan mengelakkan lebih banyak warga tempatan berbakat keluar bekerja di luar negara.
“90 peratus atau 9 buah rumah lagi adalah milik orang bukan Melayu sejak sekian lama dan semua penduduk yang terdiri daripada 10 rumah akan menerima pampasan mengikut nilai pasaran semasa sekitar RM160 juta,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, hari ini.
Rancangan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk membina hab pendidikan di Pondok Upeh itu menjadi isu panas sehingga mencetuskan demonstrasi di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini kerana didakwa kononnya sebahagian strategi DAP untuk mengusir orang Melayu di kawasan berkenaan.
Mengulas lanjut, Lim berkata, isu yang cuba dimainkan oleh Umno mengenai hab pendidikan itu membuktikan secara jelas bahawa kerajaan BN kini ketandusan idea dan bankrap isu untuk menyerang kerajaan Pakatan Rakyat.
Pada 2 November lalu, sekumpulan kira-kira 100 orang mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang membantah isu pengambilan tanah di Balik Pulau untuk pembinaan sebuah universiti swasta.
Perang mulut kemudian tercetus apabila kedua-dua pihak - Pakatan Rakyat dan BN saling menuduh orang yang memanjat pintu pagar sewaktu protes Selasa lalu di luar bangunan DUN Pulau Pinang adalah ahli PAS dan bukannya Umno.
Mengenai keputusan beliau untuk tidak menduduki kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Teratai walaupun telah hampir tiga tahun menduduki kerusi Ketua Menteri, Lim berkata bangunan tersebut masih dalam tempoh pengawasan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan.
“Apa yang lebih penting, kos yang perlu dibelanjakan untuk pembaikan dan pengubah suaian seharusnya digunakan untuk kepentingan rakyat dan saya rasa bukannya masa sekarang untuk menghabiskan duit rakyat dan saya memilih pun jimat wang dalam hal ini,” katanya.
malaysiakini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.