Bagaimanapun menurut Saifuddin, hanya dua kertas undi melibatkan dua cabang sahaja yang hilang. “Kita telah mengesan dua kertas undi bagi pemilihan MPP hilang semasa proses penghantaran dari ibu pejabat ke cabang-cabang. “Daripada dua kertas undi itu, salah satu melibatkan cabang Pandan, kedua-dua kertas undi kita kesan hilang semasa proses penghantaran.
“Bila kita sedari bahawa dua kertas undi telah hilang, kita telah memaklumkan kepada pengawas bertugas supaya tidak membenarkan kertas undi yang sama nombor siri dengan kertas undi yang hilang itu digunakan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider. Beliau berkata, proses pengundian kedua-dua cabang tersebut berjalan dengan lancar dan kertas undi baru digunakan bagi menggantikan kertas undi yang hilang itu.
“Jadi pemilihan hari ini (semalam) di dua cabang itu berjalan dengan lancar dan kertas undi tersebut tidak digunakan dan ia tidak sah kerana telah dicuri. “Kita juga sekarang sedang menyiasat siapa indivdu yang terlibat dalam kehilangan dua kertas undi ini. “Perkara ini kita juga sudah jelaskan kepada ahli dan tiada bantahan daripada mereka,” katanya. Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang percaya misteri kehilangan kertas undi itu mungkin dibuat oleh individu yang tidak senang dengan PKR dengan niat untuk mensabotaj perjalanan pemilihan parti itu.
“Malah kita percaya ia merupakan taktik untuk sabotaj perjalanan pemilihan parti, apa-apa pun kita masih menyiasat perkara ini. “Kita juga bernasib baik kerana kehilangan dua kertas undi itu tidak menjejaskan perjalanan pemilihan hari ini (semalam). Ia juga tidak mengubah keputusan pemilihan yang berlangsung.
“Kita juga percaya kertas undi itu telah dicuri dengan niat untuk menjatuhkan imej PKR dan membayangkan bahawa pemilihan PKR ini berlaku dalam keadaan kucar-kacir. Tapi apa yang jadi persoalan bagaimana penulis blog tersebut boleh menerima kertas undi tersebut, kalau dia terima maknanya dia terima daripada individu yang mungkin terlibat dalam kehilangan dua kertas undi itu,” katanya.
Tambah Saifuddin, perjalanan pemilihan PKR hari terakhir semalam secara keseluruhan berjalan dengan lancar. Blog People’s Parliament, yang dua minggu lalu mempersoalkan kertas undi boleh dijual beli, semalam melaporkan borang pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang sepatutnya diserahkan kepada ahli untuk mengundi pada pukul 10 pagi tetapi diperoleh terlebih awal.
Menurut blog tersebut berkata telah menerima e-mel dan gambar yang mengandungi borang pemilihan PKR. Dalam blog tersebut turut dilampirkan borang pemilihan untuk jawatan timbalan presiden dan naib presiden. Ini merupakan kali pertama PKR mengadakan pemilihan secara langsung berdasarkan konsep satu ahli, satu undi. Menurut penghantar e-mel tersebut, borang pemilihan berwarna merah jambu itu sepatutnya hanya boleh dibuka secara rasmi pada pukul 10 pagi.
Semalam adalah hari terakhir cabang-cabang PKR mengadakan proses pengundian. Sebanyak 37 cabang melangsungkan proses pengundian iaitu 13 di Johor, tujuh di Selangor, satu di Sabah dan 16 lagi di Sarawak. Proses pengundian yang bermula 10 pagi berakhir 4 petang. Ketika ditanya mengenai Cabang Ayer Hitam, Johor yang terpaksa membatalkan proses pemilihan kerana mendakwa tidak menerima notis mengadakan pemilihan daripada ibu pejabat, Saifuddin bagaimanapun menafikan perkara tersebut.
“Mengenai cabang Ayer Hitam, sebenarnya di sana tidak mempunyai jawatankuasa PKR lagi, ketua penaja pun tidak ada lagi, malah rekod kita juga menunjukkan tiada penaja dan komuniti di sana. “Sebab itu kita tidak hantar notis pemilihan di sana. Jadi ibu pejabat telah berhubung dengan JPP untuk mengadakan pemilihan di Ayer Hitam dengan kerjasama PKR Johor. “Jadi dakwaan yang dibuat adalah tidak benar, kita memang tidak jalankan persiapan untuk jalankan proses pemilihan di cabang Ayer Hitam. Selain itu, Zaid Mohd Yusof yang mendakwa sebagai ketua penaja cabang juga tidak benar, dia hanya ahli biasa sahaja,” katanya.
Zaid ketika dihubungi The Malaysian Insider petang semalam berkata, cabang Ayer Hitam terpaksa membatalkan proses pemilihan kerana mendakwa tidak menerima notis mengadakan pemilihan daripada ibu pejabat. Tambah Zaid, seramai 116 ahli PKR di kawasan itu tidak dapat menjalankan proses pemilihan kerana kegagalan pengurusan pentadbiran. Dalam pada itu, Bernama melaporkan, pemilihan MPP PKR bagi cabang Kuala Langat di Dewan Rakan Muda di Kuala Langat semalam dibatalkan. Walaupun berlaku pembatalan, masih ada insiden yang tidak diingini berlaku sehingga ada anggota parti yang tercedera dan membuat laporan polis.
Laporan polis itu disahkan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritenden Nordin Manan ketika dihubungi Bernama. Bernama difahamkan pemilihan tersebut sepatutnya berlangsung pada 13 November lalu dan ditunda ke 20 November dan kemudiannya semalam. Menurut Ketua Pengawas MPP PKR, cabang Kuala Langat, Zainol Ahmad, pemilihan itu terpaksa dihentikan akibat ada pihak tidak berpuas hati terhadap proses pengundian.
Beliau berkata, pihaknya telah menerima arahan lebih kurang pukul 1.30 tengah hari untuk membatal dan menutup proses pemilihan. Dalam pada itu, tinjauan Bernama mendapati pemilihan MPP PKR bagi cabang Tanjong Karang dan Kuala Selangor berjalan lancar. Lebih 300 anggota dari kedua-dua cabang hadir untuk mengundi calon.
Posted by Budak_Perak at 9:03 AM
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.