Followers

Tuesday, November 30, 2010

DR Lo'Lo: Kg Baru Kawasan Komersial, Penduduk Kena Pindah


KUALA LUMPUR 30 NOV: Pindaan terbaru Draf Rancangan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 yang menyaksikan Kampung Baru ditandakan sebagai kawasan komersial sepenuhnya dipersoal Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali.

Memetik Harakahdaily beliau berkata, pindaan itu juga memberi maksud bahawa penduduk Kampung Baru tidak boleh lagi menetap di Kampung Baru dan perlu berpindah.

"Habislah orang Kampung Baru. Pindaan terkini Deraf KL 2020 menandakan Kampung Baru sebagai kawasan komersial seratus peratus.

"Bermakna tiada residential area. Orang Kampung Baru tak boleh tinggal dah di Kampung Baru, semua kena pindah terus," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Dr Lo' Lo' berkata demikian sebagai mengulas pindaan terbaru Draf Rancangan Pembangunan Kuala Lumpur 2020.

Mengikut draf rancangan itu, Kampung Baru di Kuala Lumpur telah ditandakan sebagai kawasan komersial sepenuhnya.

Perancangan itu, kini dipamerkan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sehingga Rabu ini dan menunjukkan semua kawasan seluas 250 ekar tanah di Kampung Baru akan dimasukkan sebagai satu daripada tiga Pusat Komersial Bandaraya (CCC).

Dua lagi CCC itu adalah kawasan sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan kawasan sekitar KL Sentral di Brickfields.

CCC, seperti ditakrif dalam draf itu tidak perlu mempunyai unit kediaman dan boleh mempunyai 100 peratus kawasan komersial.

Ini menimbulkan tandatanya sama ada rumah-rumah kediaman di Kampung Baru, termasuk rumah tradisional Melayu terpaksa dirobohkan untuk pembinaan bagunan komersial.

Namun plan draf itu menyatakan pembangunan masa depan tidak akan menghakis imej Kampung Baru sebagai tapak warisan Melayu tetapi sebaliknya berkata akan 'memperkuatkan lagi identiti Melayu daripada pelbagai aspek”.

Ia bagaimanapun tidak memberi butiran tersebut kecuali berkata konsep seni bina Melayu akan diterapkan.

Seorang pegawai DBKL yang mengendalikan 'booth' di sana memberi jaminan bahawa rancangan pembangunan Kampung Baru akan memastikan tanda mercu seperti Masjid Jamek dan Kelab Sultan Sulaiman tidak akan diusik.

“Malah, masjid akan diperbesarkan,” katanya yang memohon namanya tidak disiarkan.

Ditanya mengenai nasib yang bakal dialami oleh kira-kira 39,000 penduduk Kampung Baru, pegawai itu memberi jaminan mereka tidak akan diusir keluar.

Apabila diajukan bagaimana ini akan dilakukan, beliau berkata pembangunan akan dijalankan secara berperingkat tetapi tidak mahu mengulas lanjut.

Perkembangan terbaru itu menimbulkan persoalan sama ada rumah-rumah kediaman di Kampung Baru, termasuk rumah tradisional Melayu terpaksa dirobohkan untuk pembinaan bagunan komersial.

Menurut Lo' Lo' lagi, lebih menghairankan, kenapa kawasan Penjara Pudu boleh dibina kawasan penempatan, sedangkan ia juga terletak di kawsan bandar Kuala Lumpur, malah bukan kawasan penempatan pun sebelum ini.

"Hairannya Penjara Pudu akan dibangunkan dengan 30 peratus residential," katanya lagi.

Kira-kira 39,000 penduduk menetap di Kampung Baru dan nasib mereka kini menjadi tanda tanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.