Followers

Sunday, October 10, 2010

Pakatan Rakyat Akan Terus Memperjuang Nasib Peneroka Bandar & Penduduk Kampung Tradisi !!


Akta Kampung Warisan Dibentang Elak Manipulasi Kapitalis - KUALA LUMPUR 10 OKT: Pakatan Rakyat akan terus memperjuang nasib peneroka bandar dan penduduk kampung tradisi melalui cadangan kepada pelaksanaan Akta Kampung Warisan yang akan dibentang pada sidang Dewan Rakyat, esok.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub, berkata akta ini dapat melindungi golongan kapitalis yang menghidu keuntungan besar melalui manipulasi penjualan tanah dan pembinaan bangunan di sesebuah kawasan.

"Kita merasakan cukup bimbang, kerana apa pun akta yang akan dibawa, kita tidak mahu dengan alasan majoriti. Maka ada dikalangan kita ini yang terus menjadi mangsa akibat dari tekanan dan desakan kehidupan yang semakin mencabar di Kuala Lumpur"

Beliau berkata demikian pada program Sambutan 150 Tahun Kampung Bandar Dalam di Madrasah Al-Tarbiyah, Kampung Bandar Dalam, anjuran Muafakat Kampung-kampung Tradisi (Muafakat), di Gombak hari ini.

Turut hadir ialah Sasterawan Negara, Tan Sri A Samad Said yang meluncurkan buku "Sejarah 150 Tahun Kampung Bandar Dalam". Ketua Kampung Bandar Dalam, Ishak Surin hadir sama.

Salahuddin bimbang fenomena pengusiran atas nama pembangunan terus berlaku, satu demi satu kampung tradisi dan tanah warisan milik orang Melayu terutama di bandar besar termasuk Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh dan Pulau Pinang, akan lenyap.

Justeru, Naib Presiden Pas itu berkata, sutu mekanisme atau kaedah perlu dirangka Parlimen melalui undang-undang supaya kampung tradisi dan warisan, selain kampung baru dapat dipertahankan.

"Kami berjanji, suara kampung warisan ini, adalah antara topik utama yang akan kita bercakap dan berbahas di dalam sidang parlimen yang akan datang," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Muafakat, Rosden Mohd Yassin berkata penduduk mahu jaminan berbentuk dokumen sah bagi mengiktiraf kewujudan kampong tradisi melalui pewartaaan undang-undang. “Sebagai generasi yang akan mewarisi tanah pusaka dari nenek moyang selaku peneroka awal Kuala Lumpur, kami mahukan jaminan,” katanya yang kesal kerana tanah rizab orang Melayu yang berjumlah jutaan hektar kian susut lantaran sifat tamak sesetengah pihak berkepentingan.

Katanya, tanah yang diduduki peneroka selama ratusan tahun dengan membuka kota besar, tidak diiktiraf, bahkan hak mereka untuk menetap di sesebuah kawasan turut dinafikan.

"Yang kami perlukan ialah pewartaan secara bertulis dan dimasukkan dalam Perlembagaan. Bermakna, tanah warisan dan tanah rizab Melayu tak boleh diganggu gugat supaya berpanjangan hingga generasi akan datang. Itu harapan kami," katanya.

TV Selangor

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.