Pentadbiran 22 tahun Dr Mahathir yang pernah terkenal dengan projek-projek raksasa antara lain Menara Berkembar Petronas menyifatkan projek-projek besar adalah baik dan perlu bagi negara kerana ia akan mewujudkan peluang pekerjaan. “Apa yang menarik bagi saya ialah wang yang akan digunakan untuk membina menara ini.
“Apabila anda membelanjakan wang, maka anda mewujudkan peluang pekerjaan, anda mewujudkan peluang bagi menjalankan perniagaan,” kata beliau di sini hari ini. “Saya tidak tahu sama ada ia seharusnya bangunan 100 tingkat ataupun sebaliknya, tetapi wang mesti dibelanjakan,” kata beliau.
Dalam Bajet 2011, Najib antara lain mengumumkan projek transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) di Lembah Klang yang akan dilaksanakan mulai tahun hadapan. Projek itu dengan anggaran kos pelaburan swasta kira-kira RM40 bilion dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020 akan menambah kadar kepenggunaan pengangkutan awam sekurang-kurangnya 40 peratus. Sebuah lagi projek utama yang akan dilaksanakan adalah pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh seluas 2,680 ekar.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melaksanakan pembangunan bercampur melibatkan kediaman mampu milik, perdagangan, industri serta kemudahan prasarana. Keseluruhan pembangunan ini, dianggarkan bernilai RM10 bilion dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2025.
Turut diumumkan ialah pembinaan projek bersepadu Warisan Merdeka dengan menara 100 tingkat tertinggi di Malaysia bernilai RM5 bilion yang dijangka siap pada 2015 dan pembangunan Zon Akuakultur Bersepadu di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah serta di Batang Ai dan Tanjung Manis di Sarawak dengan peruntukan RM252 juta. Bagaimanapun Dr Mahathir, yang pernah memegang portfolio kewangan, tidak bersetuju dengan keseluruhan kandungan Bajet 2011 yang diumumkan minggu lalu.
Bekas perdana menteri tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan menaikkan had pelaburan KWSP di luar negara daripada tujuh peratus sekarang kepada 20 peratus. Beliau berpendapat sekiranya boleh modal KWSP tidak seharusnya dibawa keluar dari negara. “Jika anda ada peluang-peluang dalam negara, lebih baik ia tidak dibawa keluar.
Kita bukan negara eksport modal. Kita harus belanjakan kebanyakan wang kita dalam negara,” katanya. Dr Mahathir mengakui kemungkinan tidak cukup peluang pelaburan dalam negara bagi KWSP yang mempunyai simpanan RM300 bilion untuk dilaburkan. “Jadi, kemungkinan perlu untuk (nisnah pelaburan di negara asing) ditingkatkan,” katanya lagi.
Posted by RAKYAT MARHAEN at 10/18/2010 05:35:00 PM
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.