Di sini, dinyatakan beberapa pandangan mereka membabitkan undangan pemilik harta haram termasuk segala urusan perniagaan dengan individu sedemikian.
Jika harta haram hasil rompakan, rampasan, curi atau riba, tatkala itu tidak harus berurusan dengannya sama ada jual dan beli.
Tidak halal untuk memakan hidangannya serta tidak harus menerima hadiah yang diberi serta mengambil atau berhutang dengannya.
Namun, sebahagian ulama ‘mengharuskan’ setiap urusan dengan pemilik harta haram dan ada pula yang hanya menyebutnya sebagai makruh. (Al-Qawaid, Izzudin Abd Salam: ihya Ulumuddin, Al-Ghazzali)
Majoriti ulama mazhab Hanafi, Ibn Qasim daripada mazhab Maliki, mazhab Hambali dan Ibn Taimiyah menetapkan bahawa hukumnya adalah ‘harus’ melakukan transaksi dengan pemilik modal yang bercampur antara halal dan haram jika majoriti modal itu datang daripada sumber yang halal.
Imam Ibn Nujaim berkata: “Apabila majoriti daripada jumlah modal atau pendapatannya adalah halal, maka tidak menjadi masalah untuk menerima hadiah dan makan hidangan mereka selama tiada tanda yang jelas menunjukkan ia adalah haram.
“Bagaimanapun, jika majoriti modal atau pendapatannya adalah haram, maka tidak dapat diterima hadiah dan makanan kecuali disahkan kebersihannya (halal).” (Ibn Nujaim, Asybah Wa An Nazair)
Imam Ibn Quddamah pula berkata: “....jika anda tahu (atau diberitahu oleh orang yang bercampur pendapatannya) sesuatu komoditi, makanan itu adalah daripada sumber atau modal yang halal, maka ia adalah halal.” (Al-Mughni, 4/334)
Ulama terkenal seperti imam As-Syawkani dan Al-Muhasibi pula berpendapat bahawa adalah dibenarkan secara mutlak untuk berurusan dengan pemilik yang memiliki pendapatan yang bercampur antara halal dan haram, sama ada bahagian yang halal dalam modal tersebut adalah majoriti atau minoriti. (As-Saylur Jarar; Al-Makasib Wa Al-Rizq Al-Halal)
Jadi, dalam hal ini, bolehkah seseorang itu tahu semua harta yang dimiliki seorang lelaki itu adalah haram.
Saya kira agak sukar bagi kita untuk mengatakan harta dan pendapatan seseorang itu semuanya haram.
Mungkin kerjanya dalam bidang yang haram tapi itu tidak semestinya seluruh pendapatannya dan wang simpanannya haram.
Jika pandangan yang mengatakan haram berurusan dengan individu yang hartanya bercampur dibuat dan difatwakan, kita akan dapati sudah tentu seluruh umat Islam akan ditimpa kesusahan yang tiada taranya lagi.
Ini kerana, tidak dapat dinafikan terlalu ramai umat Islam yang hartanya bercampur apatah lagi orang bukan Islam.
Ibn Masud pernah ditanya: “Aku mempunyai seorang jiran dan tidak ku ketahui berkenaan hartanya kecuali semuanya haram dan kotor, dan dia menjemput aku (ke rumahnya). Jadi aku merasa sukar untuk hadir dan sukar juga untuk tidak hadir.” Jawab Ibn Masud: “Terima dan hadirlah jemputannya sesungguhnya dosa-dosa (daripada harta haram tadi) adalah tanggungannya saja.” (Riwayat Al-Baihaqi, sanad riwayat ini tidak kukuh)
Mengamalkan pandangan tegas seperti pengharaman sudah pasti boleh menyebabkan kehidupan umat Islam dan lainnya akan terhenti.
Tidak dinafikan, adalah amat baik untuk mendisiplinkan diri dengan hukum yang lebih tegas, tetapi saya kira mengamalkan pandangan tadi menyebabkan anda tidak akan ke kedai, kenduri kahwin, aqiqah, korban, rumah jiran dan pelbagai. Pastinya ia akan membantutkan kehidupan manusia biasa.
Tiadalah juga jual beli di pasar kerana majoriti manusia sememangnya bercampur yang haram dalam pendapatannya.
Penjual di pasar belum tentu semua modalnya halal malah kebanyakan peniaga atau pengusaha berkemungkinan terbabit dalam pinjaman riba dengan bank untuk menjalankan perniagaannya.
Jiran kita juga mungkin diketahui kerjanya tidak halal sebagai pegawai promosi produk riba dan insurans, penjual rokok dan lain-lain.
Jadi, adakah akan terhenti hubungan yang membabitkan makan dan harta dengan mereka? Ia sangat sukar.
Imam Al-Ghazzali pernah berkata: “Sesungguhnya sekiranya harta haram telah tersebar luas di tempat dan sukar untuk berpindah dari tempat itu maka harus hukumnya berurusan walaupun melebihi had darurat, kerana jika manusia hanya dihadkan sekadar ‘alas perut’ (had darurat) maka pastilah akan terhenti kehidupan manusia, rosaklah sistem dan tatkala itu urusan agama juga akan rosak dan jatuhnya syiar Islam (kerana semuanya tidak boleh dilakukan tanpa peranan harta). (Shifa Al-Ghalil, Al-Ghazzali)
Apa yang disebut di atas adalah bagi individu yang diketahui pendapatannya ada yang haram, namun bagi yang tidak diketahui sumber pendapatan hartanya, hukumnya tetap pada yang asal iaitu harus dan halal selagi mana tiada diketahui pembabitannya dengan haram, tidak juga menjadi tanggungjawab kita untuk menyelidik harta dan sumber pendapatan rakan kita.
Sebagai kesimpulan, adalah harus berurusan dan hadir ke rumah orang yang menjemput walaupun diketahui hartanya bercampur.
Jika tidak diketahui terdapat hartanya yang haram secara jelas, hukum menghadiri kenduri tadi menjadi sunat dan mendapat pahala berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Apabila seorang kamu dijemput suatu majlis hidangan (kenduri makan) hendaklah ia sahut dan terimanya.” (Riwayat Muslim)
Malah menerima hadiah daripada musyrikin yang kemungkinan besar harta yang diperolehnya daripada sumber haram juga diharuskan di dalam Islam, sehinggakan imam Al-Bukhari menyatakan perihal Rasulullah SAW yang menerima hadiah pakaian daripada kaum kafir musyrik.
Apabila sahabat memuji kecantikan pakaian itu, Rasulullah SAW menyatakan pakaian Saad bin Muadz di syurga jauh lebih cantik daripada pakaian yang diterimanya.
Imam Ibn Hajar pula menyatakan hadis ini membuktikan harus menerima hadiah daripada si kafir musyrik. (Fath Al-Bari)
Malah, imam Ibn Hajar juga menyatakan hadis berkenaan lebih kuat daripada hadis larangan menerima hadiah daripada musyrik bahawasanya telah datang seorang lelaki musyrik menemui Rasulullah dan memberi hadiah kepada baginda namun baginda menjawab: “Aku tidak menerima hadiah daripada kaum musyrik.”
Ibn Hajar mengatakan bahawa Rasulullah menolak hadiah daripada musyrik itu adalah berdasarkan satu situasi yang mempunyai niat dan maksud tersirat.
Ia bermaksud untuk mendapatkan sesuatu pengiktirafan daripada Islam yang tidak boleh diberikan, meminta dilantik menjadi kepimpinan utama dan lain-lain. (Fath Al-Bari)
Terdapat satu lagi hadis yang boleh menambah kefahaman kita iaitu, Asma binti Abu Bakar RA pernah dihadiahkan barang makanan seperti susu yang dikeraskan (makanan biasa Arab) oleh wanita musyrik dan Asma menolaknya.
Kemudian Aisyah ra bertanya hal itu kepada Nabi lalu turunlah ayat yang bermaksud: “Kamu tidak dilarang oleh Allah SWT daripada mereka (kafir) yang tidak memerangi agama kamu (terus terang).
Justeru Aisyah kemudian mengarahkan Asma untuk menerima hadiah wanita musyrik itu dan membenarkannya memasuki rumahnya (Tuhfatul Ahwazi, Syarah Tirmidzi, Al-Hakim, Ahmad)
Oleh itu, jika sesuatu hadiah yang diberi tadi membawa sesuatu maksud yang bercanggah dengan hukum dan objektif Islam, maka haram diambil dan diterima hadiah berkenaan.
Satu lagi hadis juga boleh menambahkan lagi kefahaman, bahawasanya: “Ada orang yang membawa kepada kami daging, dan tidak diketahui pula sama ada mereka menyebut nama Allah SWT (semasa sembelih) atau tidak.
Rasulullah SAW menjawab: “Sebutkanlah pada diri kamu, dan makanlah. (Riwayat Bukhari)
Oleh itu, jika sesuatu hadiah yang diberi tadi membawa sesuatu maksud yang bercanggah dengan hukum dan objektif Islam, maka haram diambil dan diterima hadiah berkenaan.
Malah, jika hadiah atau pemberian itu datang daripada bukan Islam yang memusuhi dan memerangi Islam, hukumnya juga adalah haram diambil.
Namun, jika ia sekadar hadiah walaupun hartanya bercampur atau tidak diketahui, ia boleh dan harus untuk diambil.
Berkenaan hidangan daripada orang yang bercampur hartanya dan tidak pula diketahui sama ada disembelih atau tidak, hadis Al-Bukhari tadi boleh memberikan jawapannya.
Bagaimanapun, sebaik dan seeloknya-eloknya makan itu hendaklah dipastikan halal
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.