Followers

Tuesday, September 14, 2010

PRU 13 : Tun M. ramal Umno akan kalah di bahagian2 tertentu... GERAKAN MENGAKUI DAP KEKAL DIPULAU PINANG



Berita Malang Buat Penyokong UMNO...

Oleh : Pria Malaya

Menjelang PRU ke-13..........

1. Tun M. ramal Umno akan kalah di bahagian2 tertentu...

“Mereka (Umno) sudah pun berpecah, dan langkah menjauhkan diri daripada Perkasa akan menyebabkan Umno semakin berpecah..Jika anda kehilangan sokongan, anda mungkin kalah teruk dalan pilihan raya (umum ke-13)....Umno tidak kukuh. Kita tidak boleh mengetepikan sesiapa sebab dengan kita kehilangan 100 atau 200 orang, kita mungkin kalah di bahagian-bahagian tertentu,” - Tun Mahathir Mohamad

2. Gerakan 'mengangkat bendera putih', menyerah kalah kepada DAP/Pakatan Rakyat di Pulau Pinang..

"Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Hock Nan mengakui DAP boleh mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) satu lagi penggal dengan memenangi pilihan raya umum ke-13..“Dengan cara beliau mengendalikan kerajaan, beliau akan dilantik sebagai ketua menteri dalam pilihan raya umum akan datang (PRU ke-13), tetapi bukannya dalam pilihan raya umum yang seterusnya,” - Parti Gerakan Pulau Pinang

Berita sepenuhnya...

BERITA 1

Amaran Mahathir: Umno akan kalah teruk jika abai Perkasa

SERI KEMBANGAN, 12 Sept — Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi sokongan kepada Perkasa hari ini dengan memberi amaran, Umno boleh kalah teruk dalam pilihan raya umum ke-13 jika parti dominan Barisan Nasional itu memutuskan untuk menyisihkan pertubuhan hak Melayu tersebut.

“Mereka (Umno) sudah pun berpecah, dan langkah menjauhkan diri daripada Perkasa akan menyebabkan Umno semakin berpecah,” kata bekas perdana menteri ini kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau sini hari ini.

Sehubungan itu kata Dr Mahathir, Umno tidak seharusnya menjauhkan diri daripada Perkasa kerana tindakan sedemikian hanya akan menyebabkan mereka kehilangan lebih banyak undi berbanding prestasi dua tahun lalu.

“Dalam pilihan raya umun lalu, jurang perbezaan undi sangat keci. Jika anda kehilangan sokongan, anda mungkin kalah teruk dalan pilihan raya (umum ke-13).

“Umno tidak kukuh. Kita tidak boleh mengetepikan sesiapa sebab dengan kita kehilangan 100 atau 200 orang, kita mungkin kalah di bahagian-bahagian tertentu,” kata beliau sambil menambah, pada pilihan raya umum lalu ahli-ahli Umnio juga telah mengundi PAS.

Dengan menekankan prinsip asas hanya boleh bermusuhan dengan satu pihak bukannya dengan semua, Dr Mahathir berkata, Umno seharusnya menjalin hubungan rapat dengan sebanyak kumpulan yang boleh berbanding bertelagah sesama sendiri.

Ditanya sama ada Umno akan kerugian jika menjauhkan diri dari Perkasa, Dr Mahathir berkata: “Kita tidak mampu berbalah dengan ramai orang. Jika anda mahu bertengkar, bertengkarlah dengan seorang, bukan semua.”

Sementara itu, menyokong sentimen ayahnya, Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir berkata beliau tidak melihat sebarang keuntungan mengapa Umno memilih untuk menjauhkan diri daripada Perkasa di mana perjuangan kedua-dua pihak itu adalah sama iaitu memperjuangkan hak orang Melayu.

“Saya tidak nampak bagaimana saya harus tidak menyokong mereka. Saya bukan anggota Perkasa tetapi jika mereka mempelawa saya kepada majlis, saya akan pergi,” katanya pada majlis itu.

Kira-kira 10,000 pelawat dari pelbagai kaum dan kewarganegaan menghadiri majlis rumah terbuka itu. - TMI

BERITA 2

Pulau Pinang: Gerakan akui Pakatan boleh kekal PRU-13

GEORGE TOWN, 12 Sept – Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Hock Nan mengakui DAP boleh mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) satu lagi penggal dengan memenangi pilihan raya umum ke-13, tetapi parti komponen BN ini meramalkan peluang lebih baik untuk menawan semula selepas itu.

Teng juga meramalkan yang kerajaan negeri pimpinan PR tidak akan kekal berkuasa untuk tempoh yang lama.

Katanya, Ketua Menteri Lim Guan Eng yang popular tidak akan mampu untuk menerajui negeri itu selepas pilihan raya umum ke-14 ekoran pendekatan dan caranya menguruskan Pulau Pinang.

Menurut Teng, rakyat memerlukan barisan pembangkang yang kuat jika mereka mahu mengekalkan pentadbiran Lim.

“Dengan cara beliau mengendalikan kerajaan, beliau akan dilantik sebagai ketua menteri dalam pilihan raya umum akan datang tetapi bukannya dalam pilihan raya umum yang seterusnya,” kata Teng kepada The Malaysian Insider.

Mandat semasa hanya akan berakhir Mei 2013 tetapi sudah ada spekulasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan memanggil pilihan raya umum tergempar bagi peringkat Parlimen manakala kerajaan negeri dijangka mengadakannya pada waktu yang berbeza.

Bercakap mengenai isu-isu perkauman, Teng bersetuju bahawa pemimpin-pemimpin dari kedua-dua BN dan PR memainkan isu perkauman demi kepentingan masing-masing, dengan mereka yang “memegang kedudukan tinggi dalam kerajaan” lebih banyak bertindak demikian.

“Saya tidak mengatakan Umno tidak melakukannya (memainkan isu perkauman)... ramai yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan berbuat demikian,” kata beliau sambil menambah, mereka tidak kisah langsung dengan kepentingan masyarakat dan terus memainkan sentimen perkauman dengan merendah-rendahkan kaum lain.

“Mereka adalah pihak yang mengatakan kita tidak seharusnya menggunakan isu-isu perkauman untuk kepentingan politik. Anda mesti amalkan apa yang anda perkatakan,” kata beliau.

“Di satu pihak, anda kata yang ini tidak wajar dilakukan, dan di satu pihak lain, anda bertindak bertentangan dengan apa yang anda kata setiap hari,” kata Teng lagi.

Teng juga menekankan bahawa hubungan antara kaum di negeri itu semakin merosot berbanding dengan ketika Pulau Pinang diterajui oleh Gerakan antara 1969 dan 2008.

Beliau memberitahu, rakyat Pulau Pinang akan mengiktiraf usaha-usaha dilakukan oleh parti pelbagai kaum Gerakan dalam jangka panjang sekiranya ia terus memainkan peranannya di negeri itu, bukan sahaja sebagai pembangkang yang konstruktif tetapi juga parti yang menyuburkan hubungan kaum yang harmoni.

Sambil mengaku Gerakan dianggap sebagai lemah, Teng berkata, partinya telah mengambil beberapa inisiatif untuk melatih orang baru yang bersedia untuk memainkan peranan positif di negeri itu.

Teng juga berkata, beliau positif bahawa ahli-ahli Gerakan akan terus berpegang pada prinsip parti dan jika generasi muda berganding ke arah masa depan yang lebih baik demi parti itu, ia akan mampu untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada PR.

Kata Teng, walaupun beliau tidak melihat Gerakan akan mendapatkan balik negeri itu dalam pilihan raya umum ke-13, tetapi kemungkinan itu pada pilihan raya umum ke-14.

“Kemenangan adalah kepada Barisan atau parti yang mempunyai imej yang bersih dan ada kredibiliti untuk membawa kemakmuran kepada Pulau Pinang, tetapi malangnya (Gerakan) dianggap lemah,” kata Teng.

Selepas pilihan raya umum ke-12 Mac 2008 Gerakan dianggap sebagai parti yang tidak lagi relevan di negara ini.

Gerakan diberi kepercayaan untuk memegang jawatan ketua menteri sejak 1969.

Parti itu berhadapan dengan kekalahan teruk selain hanya mampu mempertahankan dua kerusi di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun Teng meminta rakyat Pulau Pinang agar memberikan Gerakan satu lagi peluang dalam pilihan raya umum akan datang untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif di Dewan Undangan Negeri.

“Dalam mana-mana pentadbiran... mana-mana kerajaan, kuasa mutlak akan membawa kepada elemen salah guna. Kita menuju kepada kuasa mutlak.

“Jika anda mahu kekalkan Guan Eng lebih lama, kami merayu kepada rakyat meletakkan beberapa orang daripada kami di Dewan Undangan Negeri,” katanya.

“Kami mahu rakyat percaya pada rekod prestasi kami dan meletakkan beberapa orang daripada kami di Dewan Undangan Negeri untuk memantau kerajaan negeri agar pentadbiran Guan Eng tidak reput dengan cepat. Ia akan reput, tetapi tidak dalam waktu terdekat,” katanya lagi. - TMI Dicatat oleh eloy di Selasa, September 14, 2010

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.