Followers

Thursday, August 12, 2010

RM20 juta atasi kemiskinan bandar - RM20 juta atasi kemiskinan bandar

PUCHONG – Kerajaan Negeri pada mesyuarat lalu sebulat suara meluluskan peruntukan RM20 juta bagi program ‘workfare’ dalam usaha mengatasi masalah kemiskinan bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, melalui program di bawah portfolio Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi itu, golongan miskin digalak berniaga secara kecil-kecilan untuk mencari pendapatan tambahan menyara keluarga.

"Sebelum ini Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan mikrokredit sebanyak RM50 juta kepada penduduk desa untuk memulakan perniagaan mereka.

"Sekarang usaha dilakukan untuk membasmi kemiskinan di kawasan bandar pula," katanya yang memaklumkan ia menunjukkan Kerajaan Negeri serius dalam perkara itu.

Beliau ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan agihan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Masjid As-Salam Puchong Perdana, Sabtu lalu.

Menurut beliau, ia sekali gus mengeluarkan seseorang itu daripada kepompong kemiskinan dan berusaha sendiri merubah kehidupan.

"Penerima zakat tegar seperti orang tua, cacat, mengalami keuzuran dan tidak bekerja akan terus dibantu kerana ia adalah tanggungjawab.

"Tetapi bagi mereka yang mempunyai tenaga dan sihat tubuh badan, kita galakkan mereka berniaga kecil-kecilan kerana ada yang menunjukkan mereka sudah berjaya meskipun bermula daripada bawah," katanya.

Beliau berkata, seseorang mungkin tidak boleh keluar daripada kemiskinan jika tidak mempunyai tekad dan harapan dalam diri mereka sendiri.

"Paling kritikal adalah kemiskinan jiwa. Kita perlu mempunyai ilmu dan tidak seharusnya terus mengharap bantuan tanpa usaha.

"Mereka boleh cuba menjual mungkin cekodok di gerai. Mungkin ia nampak kecil, tetapi sekiranya ia sedap dan berkualiti, tidak mustahil dapat dipasarkan secara sejuk beku ke luar negara seperti pernah dilakukan beberapa peniaga sebelum ini," katanya.

 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.