| Rombongan Bas 1Malaysia Ke Kelantan, Rayu TGNA.
|
|
Oleh Herman Samsuden
Sama ada mereka buta dan tuli atau saja-saja buat bodoh. Pemimpin PAS dari peringkat Musyidul Am, Presiden hinggalah ke akar umbi jelas menyatakan “Pas hanya akan bersatu dengan Umno jika parti itu mengubah dasarnya kepada Islam dan meletakan Islam sebagai landasan perjuangannya”
PAS sesekali tidak akan bersatu dengan Umno atas dasar Melayu kerana jelas dasar itu terlalu sempit untuk menampung perjuangan yang PAS bawa pada hari ini. Cadangan blogger Kickdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang kononnya mahu mengunakan 50 buah bas untuk membawa 2000 orang rakyat biasa bagi merayu Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka bagi merealisasikan perpaduan Melayu PAS-Umno itu adalah satu angan-angan Mat jenin.
Pertama, dari mana dia nak dapat 50 buah bas secara percuma? Kaya sangatkah beliau? atau sudah ada orang yang sedia sponsor projek Mat Jenin beliau ini?
Kedua, siapa pula 2000 orang Melayu yang sanggup diperbodohkan oleh Blogger yang mengkhianati Mursyidul Am PAS ini?
Ketiga, apakah agenda sebenar beliau mahu bawa mereka semua ini?
Bagi saya, bawalah semua bas yang ada kat Malaysia ini termasuk bas-bas rapid KL atau bas kilang dan bas sekolah sekalipun, tetapi selagi Umno enggan mengubah dasar perjuangannya dan melaksanakan keadilan Islam maka jangan haraplah mimpi Mat jenin kamu akan tercapai.
Mulia sangatkah Umno sampai berpusu-pusu balaci mereka mahu mengampu kepimpinan PAS untuk bersama mereka. Tindakan mereka ini sebenarnya, hanyalah menunjukan kelemahan Umno itu sendiri sehingga terdesak menjadikan PAS talian hayat terakhir mereka demi menjaga kelangsungan populariti mereka.
PAS sudah cukup masak dengan perangai Umno ini. Bila tersepit maka mulalah mereka sebarkan cerita dongeng mengenai nasib orang Melayu yang kononya berpecah dan ditindas oleh kaum lain.
Bagi PAS, masalah orang Melayu akan selesai jika mereka menerima Islam sepenuhnya dan duduk bersatu dalam PAS. Malah keadaan pasti akan jauh lebih baik sebab bila mereka masuk PAS, persaudaraan mereka akan lebih berkembang luas dengan bangsa-bangsa lain sekaligus akan lenyaplah rasa ketergugatan terhadap persaingan mengikut ras.
Umno hanya mampu hidup selagi orang Melayu masih lagi taksub kepada fahaman asabiyyah kebangsaan. Malangnya sikap Melayu yang didoktrin Umno sangat buruk kerana mereka memandang bangsa lain dengan pandangan yang amat buruk sama seperti sikap Yahudi yang didoktrinkan supaya memandang bangsa lain lebih hina berbanding mereka.
Bagi PAS, apa jua bangsa anda, kita disatukan hanya dengan akidah. Asal kita satu (Adam) kemudian berkembang biak hingga akhirnya kita berbangsa-bangsa. Namun bila kembali pada Allah kita tetap dipanggil anak Adam, bukannya anak Melayu. Yang membezakan kita disisi Allah hanyalah akidah.
Oleh itu, saya menasihatkan kepada mana-mana pihak yang begitu ghairah melihat PAS dan Umno bersatu agar menasihat pemimpin Umno untuk berubah terlebih dahulu. PAS selesa dengan keadaan sekarang dan kita konsisten dengan perjuangan yang ada.
PAS bebas untuk bekerjasama dengan sesiapa demi kepentingan rakyat, tetapi jika mahu bersatu menjadi satu, maka fikir dululah kelayakan kamu wahai pelobi Umno.
Sumber asal Herman Samsuden
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.