"Apa punya kerajaan, terlalu berkira dan sanggup rampas 5 sen dengan curi dari poket rakyat," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Kecaman demikian itu ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ekoran pengumuman menaikkan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 5 sen bermula tengah malam tadi.
Selain mengecam kenaikan harga minyak, beliau turut menjelaskan bahawa langkah menaikkan harga lima hingga enam barang keperluan asasi yang lain bukanlah langkah mengurangkan subsidi.
Sebaliknya, langkah tersebut menurut beliau, patut dilihat sebagai tindakan kerajaan menaikkan harga barang serta membebankan rakyat.
"Jangan terkeliru dengan pembohongan Najib kononnya kerajaan kurang subsidi, sebenarnya kerajaan naikkan harga barang-barang ini.
"Naik harga maknanya naik kos sara hidup, naik kos sara hidup maknanya membebankan rakyat," tegasnya lagi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut menganggap Najib menghina rakyat dan institusi rakyat, iaitu Parlimen kerana Najib membuat pengumuman sejurus selesai sesi parlimen, petang semalam.
"Elok-elok selesai sesi Dewan Rakyat, baru dia (Najib) buat pengumuman tanpa membawa isu kenaikan ini dalam dewan.
"Dia hina rakyat, dia hina wakil-wakil rakyat, dia hina Parlimen, dia bohong kita semua kononnya dia sudah mendapat maklum balas positif tentang kenaikan ini," ujarnya lagi sambil mencabar Najib menjelaskan inti maklum balas sebenar rakyat seperti yang diumumkan semalam.
Beliau turut mempertikai alasan Najib kononnya kerajaan berjaya menjimatkan RM750 juta tahun ini dengan kenaikan beberapa bahan keperluan itu.
"Kalau RM750 juta itu satu langkah penjimatan, kenapa rakyat ditimpa rugi dari impak kenaikan harga barang-barang ini.
"Najib suruh rakyat berjimat cermat, sedangkan kerajaan sendiri masih laksanakan tender langsung, melalui Perimekar dapat komisyen RM570 juta beli Scorpene," jelas beliau lagi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar mencabar Pemuda Umno Malaysia untuk menyatakan protes berhubung isu yang membabitkan kepentingan rakyat itu.
"Kenaikan-kenaikan ini umumnya lebih kurang RM4 sebab semua barang terbabit digunakan kita semua, Pemuda Umno bersukaria atau sedia terima cabaran menentang Najib.
"Pemuda PAS jelas menentang ini semua, pemuda Umno takkan sokong langkah bodoh ini," ujar beliau ketika menghubungi Harakahdaily.
Dengan kenaikan beberapa harga barangan keperluan itu, katanya lagi, wajar menjadi motivasi kepada anak muda untuk giat mendaftar diri sebagai pengundi.
Dengan berbuat demikian, tambahnya lagi, mempu mengukuhkan sokongan rakyat menolak BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.
"Sokongan yang ada pun Umno takut, kena cepat-cepat daftar (pengundi) supaya kita makin kukuh untuk tolak kabinet Najib nanti," ujarnya lagi
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.