Followers

Tuesday, July 13, 2010

17 cawangan Umno Jelutong desak Zahid selesai krisis UMNO Bahagian Jelutung

Zahid perlu segera menangani krisis ini, kata Abdul Wahad. — gambar fail

PULAU PINANG, 13 Julai — Lebih 4,000 anggota daripada 17 cawangan Umno dalam Bahagian Jelutong hari ini mendesak Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelesaikan segera krisis dalaman yang dihadapi oleh Umno bahagian sejak tiga tahun lalu.

Wakil ketua-ketua Umno cawangan yang “tergantung” itu, Abdul Wahab Abdullah berkata Zahid perlu berjumpa dengan kesemua ketua dan jawatankuasa 17 cawangan terbabit supaya krisis itu tidak berlarutan dan menjejaskan persiapan pilihan raya umum ke-13 kelak.

“Kami daripada 17 cawangan Umno ini masih lagi sayangkan parti dan masih berdiri teguh di belakang Umno, jadi janganlah biarkan kami meningggalkan Umno hanya kerana tiada apa yang boleh dibincangkan lagi,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata kesemua 17 cawangan Umno itu kesal dengan tindakan kepimpinan Umno Bahagian Jelutong dan Badan Perhubungan Umno Negeri yang menfitnah kononnya status cawangan mereka tidak sah atas alasan mempunyai ahli hantu.

“Sehingga tahun ini, kami tidak menerima apa-apa surat yang menyatakan status kami tidak sah atau digantung ataupun ditangguh dan oleh itu apa yang kami lakukan adalah mengikut undang-undang Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk mengadakan mesyuarat tahunan masing-masing semalam,” kata beliau.

Abdul Wahab berkata sebelum ini terdapat wakil Majlis Tertinggi (MT) Umno menjalankan siasatan mengenai dakwaan Umno Bahagian Jelutong terhadap 17 cawangan terlibat dan hasil siasatan itu mengesahkan bahawa kesemua cawangan itu mempunyai lebih 4,000 ahli sah.

“Adalah tidak logik tuduhan bahawa cawangan-cawangan kami mempunyai ahli hantu kerana jika ia benar-benar berlaku, Umno Bahagian Jelutong itu sendiri adalah tidak sah sekarang kerana kebanyakan kami adalah bekas barisan kepimpinan Umno bahagian itu dan telah pernah menghadiri persidangan perwakilan bahagian,” kata beliau yang juga bekas ketua pemuda Umno Bahagian Jelutong.

Katanya tindakan kepimpinan Umno Bahagian Jelutong sememangnya cuba melemahkan parti kerana dalam usaha Presiden Datuk Seri Najib Razak memperkukuhkan pengaruh Umno di kalangan rakyat, Umno Bahagian itu pula sedang menyingkir anggotanya.

Beliau berkata lebih 4,000 anggota Umno terlibat memberi tempoh sehingga hujung tahun ini dan jika MT masih tidak memberi sebarang keputusan, mereka mungkin akan membubarkan cawangan masing-masing dan keluar daripada Umno secara beramai-ramai.

Sementara itu, Ketua Bahagian Umno Jelutong, Abdul Razak Abdul Rahman berkata beliau telah menghantar surat kepada ahli-ahli daripada 17 cawangan itu untuk menyertai cawangan lain kerana Badan Perhubungan Umno Negeri telah membuat keputusan untuk menutup cawangan mereka. — Bernama

1 comment:

  1. susahlah mcm ni, semua nak harapkan orang lain, ni sebenarnya satu isu yg paling diminati dan amat ditunggu2 oleh pihak pembangkang dalam memanipulasikan berita yg dianggap sensasi dan mampu memecahkan pemikiran rakyat serta pembaca diluar sana, pada saya isu2 mcm ni tak perlulah sampai tahap nak dihebahkan, isu dalaman dalam parti ni harus diselesaikan dengan cara yg penuh Hikmah sentiasa berpandukan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan yg paling berkesan, pada pengamatan saya setiap org yg ada dalam parti tu bukan anak2 sekolah rendah atau anak2 terencat akal, sudah pasti semuanya dah berumur dan dewasa, takkan perkara2 mcm ni tak boleh nak diselesaikan, jgn dok pikiaq perut dan ikut kepala hangpa sahaja, pikiaqkan masa depan anak-anak, cucu serta pewaris akan datang, harap semuanya dapat diselesaikan dengan baik..InsyaAllah

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.