Followers

Sunday, June 27, 2010

TIADA RASUAH DAN SALAHGUNA KUASA, SAYA SOKONG PENUH MB KHALID - AZMIN

Azmin nafi ada konspirasi tumbangkan MB S'gor

Salhan K Ahmad & Gavaskar Brian Raj



Beberapa pemimpin PKR menafikan wujudnya pakatan untuk menumbangkan menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dalam permukiman parti itu di Shah Alam hari ini.

Bercakap di luar sesi permukiman parti itu di Shah Alam, seorang naib presiden parti itu Azmin Ali berkata soal menumbangkan Khalid tidak timbul sama sekali.

Katanya, kritikan ke atas menteri besar itu telah disalahtafsirkan sebagai usaha menjatuhkan Khalid.

"Tidak sama sekali. Saya menyokong sepenuhnya kepemimpinan Tan Sri Khalid sebagai menteri besar," katanya yang juga ahli parlimen Gombak.

Bagaimanapun, kritikan daripada pemimpin parti ke atas Khalid menunjukkan kerajaan negeri perlu membuat perubahan bagi memastikan rakyat sentiasa menyokong Pakatan Rakyat.

Khalid jalankan tugas dengan baik

"Tidak ada penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah. Dari segi ini, Khalid telah menjalankan tugas dengan baik.

"Maknanya pentadbiran beliau bersih... Tapi masalah birokrasi masih ada. Yang ini harus diperkemaskan," katanya lagi.

Tambahnya, perkara utama yang dibincangkan dalam permukiman hari ini ialah persiapan untuk menghadapi pemilihan parti yang melibatkan jawatan di 218 cabang dan di majlis pimpinan tertinggi.

Katanya, taklimat hari ini juga menyentuh mengenai latihan yang akan diberikan kepada petugas-petugas dalam pemilihan yang ditetapkan berlangsung selama lapan hari itu.

"Kita sambut baik persiapan oleh sekretariat dan ada pegawai pilihan raya yang akan dilantik di setiap cabang" katanya lagi

Sementara itu, ketua sekretariat wakil rakyat PKR Datuk Kamarul Baharin Abbas (kanan) pula menafikan pembabitannya mengetuai seramai 15 orang wakil rakyat bagi menjatuhkan Khalid sebagai menteri besar.

"Saya dalam parti mengetuai sekretariat MP dan ADUN, itu betul. Tapi soal yang dibangkitkan media itu tidak ada dibincang secara khusus.

"Tidak ada petisyen, tidak ada memorandum seperti yang dilaporkan. Kalau ada saya akan tahu," katanya kepada media ketika ditemui di permukiman parti itu.

Buat spekulasi

Ketika ditanya lanjut, beliau turut menafikan kewujudan 15 orang wakil rakyat berkenaan sebagai spekulasi yang ditimbulkan oleh media.

"Siapa kata 15 (orang)? Yang kata 15 itu wartawan. Wartawan yang buat spekulasi. Kenapa 15 (orang) bukan 20, (sedangkan) ada 20 MP dalam PKR.

"Jadi ini adalah nombor yang direka-reka oleh seseorag. Saya tidak bertanggungjawab tentang itu," katanya lagi.

Sementara itu presiden parti Datuk Seri Wan Azizah Ismail (atas, kanan), ketika ditemui wartawan turut menafikan isu itu ditimbulkan dalam permukiman kali ini.

"Tidak, kita telah keluarkan notis bahawa kita akan buat penilaian sebab kita ada pemilihan parti yang akan datang, dan kita bertemu (di permukiman). Apa yang isunya? Tidak ada isu.”

Turut ditemui, ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof yang berkata beliau langsung tidak mengetahui mengenai wujudnya "komplot" untuk menggulingkan Khalid.

"(Bagi) saya, apa yang dikatakan komplot, saya tidak tahu. Apa yang saya tahu perjumpaan hari ini adalah untuk memantapkan parti," katanya.

Sejak kebelakangan ini, media menimbulkan desas-desus 15 ahli parlimen PKR akan cuba menggulingkan menteri bear Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerna didakwa tidak berpuas hati dengan cara pentadbirannya./Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.