Followers

Wednesday, June 30, 2010

Dr. Mahathir Cover Najib Salahkan Pak Lah

Bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini tampil sebagai pelindung kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang menerima kritikan berhubung pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor.

Sokongan itu timbul ketika Najib berhadapan dengan label "perdana menteri flip-flop" berhubung kegagalannya meneruskan pembinaan jambatan berkenaan, serta tindakannya membatalkan pemberian lesen judi sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd.

Dr Mahathir sebaliknya menyalahkan penggantinya Tun Abdullah Badawi kerana menolak cadangan pembinaan jambatan tersebut.

Dalam coretan di blognya hari ini, Dr Mahathir turut mengemukakan persoalan sama ada Najib terikat dengan janji yang dibuat oleh 'PM kelima' itu.

"Yang menolak pembinaan jambatan ini hanyalah perdana menteri kelima (Abdullah Ahmad Badawi) yang mendakwa rakyat Johor tidak mahu jambatan ini.

"(Sedangkan) tiga hari sebelum kenyataan ini dibuat, timbalan perdana menteri ketika itu, iaitu perdana menteri ketika ini, telah mengesahkan bahawa jambatan berkenaan tetap akan dibina," katanya.

Mahathir juga berkata, persoalan ini ditimbulkannya memandangkan rakyat tertanya-tanya mengapakah “Najib yang penuh berkuasa tidak sanggup meneruskan pembinaan jambatan ini.”

"Apakah beliau terikat janji dengan perdana menteri kelima (Abdullah Badawi)? Apakah status janji ini?," soalnya.

Mahathir juga mendakwa al-Marhum Sultan Johor Sultan Iskandar bersetuju supaya tambak berkenaan digantikan dan perkara itu disokong oleh seluruh rakyat Johor "kecuali seorang."

"Demikian juga saya tidak dengar bantahan oleh rakyat Malaysia terhadap projek jambatan mengganti tambak Johor ini," katanya lagi.

Tambahnya, bekas perdana menteri Singapura Goh Chok Tong juga menyetujui cadangan itu, melalui satu surat yang diterbitkan dalam sebuah buku berjudul "Water Talks - If Only It Could."

"Goh tidak membantah pembinaan jambatan di perairan Malaysia jika itu dikehendaki oleh kerajaan Malaysia," tulisnya lagi.- mkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.