Oleh IDRIS SAMAD
Baru ini UMNO Kedah buat tindakan yang menyedapkan hati mereka, kononnya ada 61 ahli PAS dalam Bahagian Alor Setar bertindak meninggalkan parti itu dan menyertai Umno. Permohonan untuk menjadi ahli Umno dihantar kepada ketua Umno bahagian, Dato' Ahmad Basha Md Hanipah. Baguslah kalau ia betul kerana Umno memang mengharapkan ia benar-benar berlaku tetapi hakikatnya, kepimpinan Umno Kedah sedang buntu sekarang ini kerana sejak BN kalah dalam PRU-12 yang lalu, masing-masing berebut-rebut mahu menjadi ketua.
Jawatan Pengerusi KEDA, agensi Pusat yang terletak di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dirampas dari Mhdzir untuk diserahkan kepada Ahmad Basha, juga kerana Najib mahu membalas budi. Tidak mustahil, dalam masa terdekat, Ahmad Basha akan dilantik menjadi Ketua Pembangkang kerana, ia akan melambangkan Ahmad Basha adalah ketua kepada semua, iaitu parti dan kerajaan.
Mhdzir kenalah bersedia untuk berundur kerana dia bukan 'orang Najib' dan Najib tidak berhutang budi dengannya. Mhdzir adalah 'orang Pak Lah' yang tentunya menunggu masa untuk dikorbankan sebagaimana 'mereka' mengorbankan Pak Lah dahulu. Ahmad Basha tentunya memasang cita-cita mahu menjadi Menteri Besar Kedah, jika BN menang semula. Cita-cita percuma dan tidak salah dari segi undang-undang negeri dan negara.
Mungkin kerana memasang cita-cita, Ahmad Basha merasakan kehadiran 61 orang ahli PAS yang didakwanya dari Ranting Akar Penyengat akan membantunya menjadi Menteri Besar Kedah.
Masalahnya, Ranting Akar Penyengat tidak wujud, jadi Ahmad Basha berbohong atau media arus perdana yang melaporkan berbohong? Mereka berbohong kepada siapa? Kepada Najib atau kepada pengundi di Alor Setar? Kalau Ahmad Basha berbohong, layakkah dia mahu menjadi Menteri Besar? Kalau tidak layak, kenapa Najib mengekalkan dia sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah?
Bukankah lebih elok jika jawatan itu diserahkan kepada Mhdzir supaya selari jawatan Mhdzir sebagai Ketua Pembangkang Dun Kedah dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah. Jangan pula terkejut jika selepas ini, bagi menyaingi pengaruh Ahmad Basha di Bahagian Alor Setar, Ketua Umno Bahagian Pokok Sena, Dato' Ahmad Lebai Sudin juga akan mendapat liputan berita kerana berjaya membawa masuk beratus-ratus ahli PAS kepada Umno.
Ahmad juga memasang cita-cita mahu menjadi Menteri Besar Kedah kerana dia merasakan dia antara ketua bahagian yang senior di negeri itu. Ini belum dikaitkan lagi dengan Dato' Johari Baharom (Kubang Pasu), Dato' Tajul Urus (Merbok) dan Dato' Abdul Aziz Sheikh Fadzir (Kulim Bandar Baharu). Masing-masing ada hujah mengatakan mereka lebih layak dari Ahmad Basha tetapi mereka belum mendapat liputan berita kerana membawa masuk ahli parti pembangkang ke dalam Umno.
Umno Kedah sudah buntu. Ketika Najib menamakan Dato' Seri Mohd Shafie Afdal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, ramai yang ketawa besar. Bagi mereka, Najib silap perhitungan kerana Shafie dianggap tidak layak mengetuai Umno negeri itu.
Namun, disebabkan dia menang kerusi Naib Presiden, maka Najib terpaksa melantiknya seperti mana dua Naib Presiden yang lain, dilantik mengetuai Umno Pulau Pinang dan Terengganu. Dalam Umno, Kedah adalah negeri di mana 'ramai kaki sembang dan kurang yang bekerja'. Kalau mahu dengar cerita, ajaklah orang Umno Kedah bersembang, mereka boleh menyusun pantun dan kata-kata berbentuk gurindam.
Tapi, negeri yang sudah melahirkan dua Perdana Menteri, iaitu Almarhom Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan negeri di mana Umnonya tidak tersusun seperti Umno Johor dan Selangor.
Puas sudah orang-orang Umno mencari kesalahan dan kesilapan kepimpinan Pakatan Rakyat di Kedah. Malangnya, kepimpinan Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak terlalu mesra rakyat hingga menjadikan orang-orang Umno terkelu lidah mereka. Akhirnya, mereka bergaduh sama-sama sendiri. Mereka ketawakan kawan-kawan mereka yang tidak menang pilihan raya. Mereka sibuk ke Kuala Lumpur menjaja cerita buruk kawan-kawan mereka.
Dari 10 orang Umno Kedah yang ditemui, sembilan memuji Ustaz Azizan. Kata mereka, tiada kerja yang silap dilakukan Ustaz Azizan malahan, hasil balak dalam era kepimpinan Ustaz Azizan sudah cukup untuk membuktikan bahawa BN selama ini tidak berlaku jujur dalam pentadbiran. Ramai juga yang menanti-nanti berita dari Kedah, kalau ada ahli-ahli DAP dan KeADILan pula bertindak keluar parti.
Walaupun ramai yang tahu berita itu berita bohong tetapi inilah lelucon terbaik tahun ini yang disusun oleh Umno dan BN Kedah di bawah Shafie. Keluhan selama ini yang mendakwa Shafie semenjak dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah tidak berkesempatan untuk bertemu dan mengadakan mesyuarat dengan tiga sayap Umno, Pemuda, Wanita dan Puteri, tidak diketahui apa kesudahannya.
Ahmad Basha mungkin berjaya mengaburi mata Najib dengan berita 61 ahli PAS meninggalkan parti dan menyertai Umno – tetapi pengundi di Alor Setar tentunya tahu siapakah Ahmad Basha dan apakah hukuman yang bakal mereka berikan kepada Ahmad Bashan anti jika dia bertanding lagi dalam PRU-13 akan datang.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.