Followers

Monday, May 24, 2010

Saya tidak akan bubar DUN - Azizan


Oleh NAZARUDIN SHAHARI

ALOR SETAR 23 Mei - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan tetap mempertahankan kerajaan negeri yang diketuainya meskipun dengan kelebihan majoriti satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, sehingga kini, kerajaan negeri yang dipimpinnya adalah kuat serta masih memiliki majoriti yang cukup dan tidak ada sebab untuknya bertindak membubarkan DUN.

"Saya tidak akan bubarkan DUN hingga ke peringkat tidak mampu lagi bertahan. Hanya orang gila saja yang hendak bubar. Saya belum gila lagi," katanya ketika berucap pada majlis penerangan isu keluar parti di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, di sini malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu ialah 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang termasuk empat ADUN yang disebut-sebut sebelum ini akan keluar parti sekali gus menumbangkan kerajaan negeri.

Empat ADUN tersebut ialah Lim Soo Nee (PKR-Kulim), Tan Show Kang (PKR-Sidam), S. Manikumar (PKR-Bukit Selambau) dan Lee Guan Aik (DAP-Kota Darul Aman).

Bagi menggambarkan keyakinannya bahawa kerajaan negeri tidak akan tumbang, Azizan berkata, beliau bersama beberapa Exco kerajaan negeri akan melakukan lawatan ke luar negara pada penghujung tahun ini dan tidak bimbang ia akan dijadikan peluang kepada Barisan Nasional (BN) merampas kerajaan negeri.

Beliau juga memberi amaran kepada para pemimpin BN agar tidak bertindak keterlaluan dalam soal keluar parti atau berdepan dengan pendedahan mengenai kepincangan yang didakwa dilakukan semasa kerajaan BN dahulu.

"Jangan bagi Ustaz Azizan kembali ke perangai lama (dengan membuat pendedahan tindak tanduk pemimpin BN)," katanya.

Mengenai gesaan Soo Nee agar punca ADUN melompat disiasat, Azizan berkata, sehingga kini belum ada bedah siasat dilakukan tetapi kerajaan negeri akan meneliti cadangan itu.

Sementara itu, Pengerusi PKR negeri, Ahmad Kassim yang turut berucap pada majlis itu memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat dakwaan mengenai ADUN parti itu bertindak keluar parti.

"Jika mereka buat dakwaan, nyatakan nama ADUN yang akan keluar parti supaya kita boleh saman mereka RM10 juta kerana membuat fitnah," katanya.

Menurutnya, sudah sampai masanya tindakan undang-undang diambil memandangkan isu itu semakin menjadi-jadi sehingga beliau bersama para pemimpin lain dihubungi tidak henti-henti sejak ia mula timbul.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.