SHAH ALAM 1 MEI: Pimpinan Pakatan Rakyat menyelar tindakan pihak berkuasa dalam meleraikan perhimpunan anti-GST yang diakan-akan anti-pekerja dan anti-rakyat kebanyakan.
Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli berkata hampir 80 peratus dari rakyat Malaysia akan terkesan dengan pelaksanaan GST ini, yang mengalihkan beban cukai dari golongan pemodal ke pundak kaum pekerja bawahan dan kelas pertengahan.
"Bila GST ada nanti cukai korporat akan dikurang. Kenakan cukai pada orang miskin tapi kurangkan cukai pada orang kaya. Ini yang kita tentang. Jadi saya harap suara rakyat jadi lebih kuat supaya undang-undang ini ditarik balik.
"Saya rasa perhimpunan ni bukan sesuatu yang rahsia, jalan pergi dataran merdeka pun dihalang. Tangkapan ini, bagi saya keterlaluan. Lagi pun hari ini Hari Pekerja, biarlah mereka merayakan," katanya.
Sentimen sama turut dikongsi Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusof yang menyifatkan perhimpunan anti-GST adalah petunjuk jelas betapa ramai membantah perlaksanaan pakej cukai ini.
"Polis yang menangkap tak faham bahawa 1 Mei adalah hari kepada semua pekerja termasuklah polis. Tanggal 1 Mei perlu dilihat sebagai usaha mewakili nasib pekerja.
"Dalam hal ini, polis tidak perlu melihat usaha ini sebagai mengancam. Saya kecewa dengan tindakan polis itu," kata Yusmadi.
Rang Undang-Undang GST dibaca kali pertama di Dewan Rakyat pada Disember lalu tetapi ditangguhkan untuk bacaan kedua pada Mei ini atas alasan lebih masa diperlukan untuk memberi penjelasan kepada rakyat.
Cukai empat peratus yang akan dikenakan kepada barangan dan perkhidmatan dikatakan bertujuan meningkatkan ekonomi negara tetapi kesan terhadap golongan berpendapatan rendah.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.