Followers

Saturday, May 15, 2010

PPIM: Jangan cemarkan sukan dengan judi

Puteri Aida Haryani
Mei 15, 10
10:02am
Langkah kerajaan memperkenalkan lesen judi pertaruhan perlawanan bola sepak Piala Dunia ters mendapat bidasan daripada pelbagai pihak.

Terbaru, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Ma'amor Osman berkata, jika judi dibenarkan dengan alasan bimbang akan berlakunya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini, ia sesuatu yang tidak wajar.

“Jika begitu, isu pelacuran, rasuah... juga boleh dihalalkan”, katanya lagi.

Ma'amor berasa sangat kecewa dengan keputusan kerajaan itu.

Katanya, hal berkenaan tidak menggambarkan seperti mana yang telah dijanjikan oleh perdana menteri iaitu 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.

"Sepatutnya hal ini harus ditentang kerana persoalan di manakah kehendak rakyat sebenar didahulukan. Ia seperti seolah-olah memperbodohkan orang lain.

“Pusat perjudian yang ada seperti Sport Toto sekalipun adalah bertujuan untuk keuntungan. Malahan orang yang ketagih dengan perjudian juga boleh bankrap,” tambahnya lagi.

“Jangan cemarkan sukan dengan perjudian. Hal ini kerana sukan merupakan satu yang bersifat semula jadi dan sihat,” katanya.

Ma'amor berkata jika perjudian ini dibenarkan kemungkinan besar akan berlakunya isu rasuah dalam sesuatu permainan sukan yang dijalankan.

“Contohnya, jika sesuatu kumpulan inginkan kemenangan dengan mudah mereka boleh 'membayar' kepada pihak yang bertanggungjawab kerana jika judi dihalalkan tidak salah jika rasuah juga dihalalkan.

“Sebagai rakyat biasa kita mahu mengajar perkara yang baik terutama kepada kanak-kanak kecil. Tidak mustahil akan berlakunya perjudiaan secara kecil-kecilan”, katanya.

Menurut Ma'amor dalam Islam tiada ideologi yang membenarkan berjudi.

“Malahan dalam rukun negara yang pertama ada mengatakan 'kepercayaan kepada tuhan'. Oleh itu, bagi mereka yang berjudi adalah orang yang ingkar kepada kepercayaan tuhan,” katanya.

Ma'amor berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku menteri kewangan meneliti semula pemberian lesen judi itu.

11 Mei lalu, Kementeri Kewangan secara rasminya memberi lesen judi berkenaan kepada Kumpulan BERJAYA.

Sehubungan keputusan itu, pertaruhan secara sah boleh dilakukan sebelum kejohanan bolasepak Piala Dunia bermula pada 11 Jun ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.