Selesaikan kemelut dalaman MIC - PM
JOHOR BAHRU 22 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap kemelut yang sedang berlaku dalam MIC, salah sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) dapat diselesaikan.
Najib yang juga pengerusi BN berkata, kemelut dalam MIC kini semakin hangat kerana ramai di kalangan pemimpin parti terbesar kaum India itu yang berpendapat perlunya berlaku perubahan dalam kepimpinan tertinggi parti.
"Perkara ini (kemelut kepimpinan MIC) harap dapat diselesaikan oleh MIC," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Aero Mall dan Bandar Lapangan Terbang Senai di Lapangan Terbang Senai di sini hari ini.
Beliau berkata, apa yang penting adalah MIC sebagai salah sebuah parti komponen BN perlu turut memainkan peranannya untuk meyakinkan rakyat supaya menyokong parti pemerintah.
Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya tentang kemelut yang berlaku dalam MIC ketika ini yang menyaksikan timbalan ketua pemuda MIC, V.Mugilan dipecat berikutan desakannya agar presiden parti Datuk Seri S.Samy Vellu melepaskan jawatannya dengan segera. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.