Followers

Saturday, April 24, 2010

Ismail : Bekas Peneroka Felda Sungai Buaya Mungkin Ditipu...

Sesetengah pihak mengesyaki peneroka Felda Sungai Buaya sudah ditipu Kerajaan Pusat berhubung pampasan penjualan tanah Felda.

Bekas Setiusaha Task Force Tanah Negeri Selangor, Haji Ismail Rejab menggesa penduduk Felda Sungai Buaya agar memeriksa nilai sebenar tanah mereka kerana ada kemungkinan nilai yang ditawarkan Kerajaan Pusat adalah harga 10 tahun lalu.

Menurut beliau nilai harga tanah di Hulu Selangor jauh lebih tinggi berbanding yang dijanjikan Kerajaan Pusat sekiranya berjaya menawan Selangor. Malah ujar beliau kepada Tv Selangor, jumlah sebenar mungkin mencecah RM 200 sehingga RM 300 ribu seekar.

“ Mungkin itu harga 10 tahun dulu. Harga RM 160 ribu itu mungkin harga 10 tahun lalu”, ujar beliau ketika dihubungi Tv Selangor.

Ismail yang sebelum ini pernah berkhidmat di bawah kerajaan negeri dalam mengkaji masalah tanah di Selangor menjelaskan, prosedur pengambilan dan pembayaran tanah perlu dilakukan dengan teliti kerana ia bergantung kepada nilai semasa tanah yang berubah-ubah, serta mengambil-kira faktor pembangunan di kawasan berkenaan.

“Sebenarnya dari segi prosedur pengambilan tanah, untuk membuat pembayaran tidak semudah itu. Bayaran perlu dibuat mengikut penilaian yang sebenar. Penilaian semasa sebenar. Mungkin penilaian semasa kes Sungai Buaya itu berlaku lima tahun dahulu. Nilai tanah rendah".

"Nilai tanah sekarang mungkin lebih tinggi. Kalau hendak buat bayaran pun mesti ikut nilai yang sebenar. Berdasarkan kepada kemudahan-kemudahan yang berada di sekitar tanah tersebut” tambah beliau lagi.

Semalam, Perdana Menteri, Najib Razak menempa sejarah apabila menjadi Perdana Menteri pertama memberikan wang RM 50 ribu kepada 100 peneroka Sungai Buaya disamping menjanjikan RM 160 ribu untuk setiap ekar tanah yang bakal dibangunkan jika kemenangan memihak kepada mereka.

Malah seolah-olah menghalalkan cara, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga turut menutup mata terhadap pencabulan Perkara 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2006) yang menyebut seseorang akan didapati bersalah jika melakukan sogokan sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung

“ Jadi saya buat kesimpulan bahawa pemberian yang diberi oleh Datuk Najib merupakan satu pemberian politik yang ada kaitan dengan pilihanraya kecil di Hulu Selangor” tegas Ismail.

Malah Ismail turut mempersoalkan sejauh mana kesungguhan kerajaan pimpinan Najib dalam membela masyarakat Felda Sungai Buaya sedangkan selama belasan tahun malah ketika pentadbiran Menteri Besar yang lalu, langsung tidak mengambil peduli hak bekas peneroka felda berkenaan.

“ Kalau lah betul kerajaan BN hendak selesaikan isu peneroka Felda Sungai Buaya, mengapa tidak diselesaikan semasa Selangor ditadbir oleh BN? Semasa Selangor ditadbir oleh Menteri Besar Datuk Khir Toyo. Mengapa sekarang selepas pilihanraya baru timbul isu ini kembali?" soalnya.

Bekas peneroka Felda Sungai Buaya telah menderita selama 15 tahun berhubung isu pampasan tanah yang tertunggak dan hanya dibayar sebanyak RM 50 ribu oleh Perdana Menteri semalam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.