Followers

Thursday, April 1, 2010

Gerakan PP tidak akan mohon maaf pada UMNO Bukit Bendera

GEORGETOWN - Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan membidas kenyataan bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang menuntut Gerakan Pulau Pinang mohon maaf secara terbuka.

Menurutnya, tidak wujud persoalan untuk memohon maaf kepada UMNO Bukit Bendera untuk menjernihkan semula hubungan kerana ia jelas bertentangan dengan konsep 1Malaysia.

“Parti Gerakan lebih menekankan aspek perpaduan dalam negara untuk membina masyarakat berbilang kaum, adil dan saksama seperti saranan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kini, persoalannya kenapa perlu mohon maaf sekiranya kita dapati permintaan Ahmad begitu jelas bersifat perkauman. Selain itu, beliau masih berfikiran seperti zaman dulu yang lebih berdasarkan sentimen perkauman,” katanya.

Dr Teng berkata, permintaan Ahmad menuntut permintaan sedemikian mencerminkan tindakan dan kenyataannya berbaur perkauman.

“Lagipun, Gerakan bukan sengaja memutuskan hubungan dengan UMNO Bukit Bendera, itu berpunca daripada tindakan beliau sendiri.

“Antaranya ialah mencetuskan kemarahan masyarakat Cina dan mewujudkan konflik dengan mengoyak gambar Dr Koh Tsu Koon sehinggakan kontroversi perkauman antara dua parti sesama Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri. Ini menyebabkan beliau digantung daripada parti,” katanya.

“Oleh itu, Gerakan tidak akan memohon maaf kepada Ahmad kerana aspek ideologinya jauh berbeza daripada BN mahupun Gerakan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad bahawa hubungan antara UMNO Bukit Bendera dan Gerakan dapat dijernihkan sekiranya Gerakan memohon maaf.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.