Followers

Tuesday, March 30, 2010

Parlimen Ada 'Peraturan Khas' Untuk Anwar Ibrahim

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur Speaker Dewan Rakyat yang tidak konsisten dalam menentukan tarikh untuk Ketua Pembangkang itu membuat penjelasan mengenai peranan Apco Worldwide dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Anwar bersedia penjelasan bila-bila masa tetapi kesal kerana keputusan mereka saling bercanggah dan memberi gambaran wujud satu peraturan khas apabila sesuatu isu melibatkan beliau.

Tarikh itu menjadi pertikaian apabila Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Jaafar membatal keputusan timbalannya Ronald Kiandee yang menetapkan Anwar untuk membuat penjelasan esok.

Sebaliknya, Dr Wan Junaidi meminta semua pihak menunggu keputusan beliau yang bersangkut paut kandungan Peraturan 34 (1) pada Rabu ini, sekali gus bermakna penjelasan Anwar yang dijadual esok perlu ditunda.

Bagaimanapun, Dr Wan Junaidi selepas didatangi Setiausaha Dewan Rakyat yang memaklumkan sesuatu tiba-tiba menukar keputusan dengan menyatakan Anwar perlu memberi penjelasan esok sebagaimana keputusan yang ditetapkan Ronald Kiandee.

Dolak dalik dan percanggahan mengenai keputusan berkenaan mendorong Anwar membuat teguran.

“Janganlah ada peraturan khas untuk Permatang Pauh. Saya tidak keberatan memberi penjelasan tapi Speaker kenalah teliti keputusan dan adil,” katanya pada sidang Dewan Rakyat yang turut disokong Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang.

Dr Wan Junaidi kemudian menetapkan penjelasan itu perlu dibuat pada Selasa, itu pun selepas dua kali setiausaha dewan rakyat mendatangi Dr Wan Junaidi hingga gelagat itu disindir Anwar dan Kit Siang.

“Jangan sampai orang kata speaker ikut cakap setiausaha,” kata Ketua Umum Keadilan dengan nada sedikit sinis.

Speaker Dewan Rakyat itu kemudian memberi penjelasan panjang lebar terhadap keputusannya itu tetapi ia masih mengelirukan sehingga Anwar sekali lagi bangun dan terpaksa membetulkan fakta.

Enggan menjawab Anwar, Dr Wan Junaidi sebaliknya dilihat cuba mengelak isu itu berpanjangan dengan berkata demikian dan meminta hal itu dibincangkan kemudian.

Apco Worldwide adalah firma perunding antarabangsa yang dilantik bagi menasihati kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.