Followers

Saturday, March 6, 2010

Manikumar, Exco PKR Kedah bercakap soal lompat parti

S. Manikumar a/l Subramaniam Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia, Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat India merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan N 25 Bukit Selambau yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah diminta pandangan dalam beberapa isu termasuk kekecohan wakil rakyat melompat parti sekarang ini.

YB, masyarakat di Kedah ingin tahu sejauh manakah kemelut wakil rakyat melompat parti terutama sekali dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) boleh mengganggu pentadbiran kerajaan negeri di sini

Seperti yang diketahui, di Kedah kita mempunya empat kerusi DUN yang diwakili oleh wakil PKR. Setakat ini tidak ada apa-apa yang kedengaran lebih-lebih lagi ribut keluar parti seperti yang berlaku di Pulau Pinang dan Perak. Untuk makluman pengundi, saya boleh memberi jaminan bahawa di Kedah buat masa ini sangat stabil baik dari segi politik atau ekonomi.

Keresahan rakyat bukan sahaja di Kedah tetapi di tempat lain juga. Bagaimana ini boleh berlaku

Pada pandangan saya ini terjadi dengan tiba-tiba sahaja. Melompat parti bagi saya merupakan satu perbuatan yang terkutuk. Rakyat memberikan undi dan mandat supaya wakil mereka menerajui kepimpinan dengan berada di dalam PKR. Bukan selepas sahaja mencapai kemenangan lalu mengkhianati amanah yang diberikan. Pada saya mereka yang melompat parti ini adalah dari kalangan yang mempunyai agenda personal dan bukannya berkaitan dengan apa-apa kelemahan kepimpinan atau parti.

Tapi YB mereka memberikan alasan bahawa kepimpinan parti tidak mendengar pandangan yang mereka bangkitkan

Jika ada masalah sekalipun, adakah kita perlu meninggalkan parti. Sampai bila? Rakyat mahu kita membantu mereka menyelesaikan masalah. Jika masalah kecil dalam parti pun tidak boleh kita bincang dan jadikan pula ia sebagai masalah sendiri, bagaimana hendak kita menangani dan selesaikan masalah yang lebih besar yang dipikulkan rakyat ke bahu kita. Inilah yang kepimpinan mahu agar kita sematkan di dalam sanubari sebagai seorang wakil kepada rakyat.

Adakah pandangan mereka didengar…

Memanglah sebagai satu jentera kerajaan adakalanya kita menghadapi sedikit kelewatan apabila berurusan dengan Exco, wakil rakyat, pegawai-pegawai di daerah, agensi-agensi dan kepimpinan parti dan kepimpinan kerajaan samada di peringkat negeri dan persekutuan. Adakah hanya kerana itu kita lari meninggalkan perjuangan. Kemudian kita dedahkan ia di media. Saya tidak setuju denga cara itu.

Apa pandangan YB untuk menangani gejala seperti..

Harus diingat bahawa rakyat sudah semakin celik. Rakyat dapat menilai yang mana baik dan tidak untuk masa depan politik mereka. Saya pasti dan saya nasihatkan rakyat agar memilih seorang wakil yang memperjuangkan nasib mereka, perkara seperti kreadibiliti calon, kelayakan, cara ia respon, berfikiran orthodox atau revolusioner, berperwatakan baik, berpendidikan politik yang mulia dan ciri-ciri kepimpinan yang lain diutamakan supaya kita tidak dipermainkan. Jika dilihat mereka yang keluar parti ini adalah dari kalangan yang bermasalah peribadi terutama sekali masalah kewangan baik Zahrain atau yang lainnya.

Apa yang YB boleh kongsi supaya rakyat tidak gelisah dengan situasi ini

Sebenarnya setiap manusia ada masalahnya sendiri. Saya sendiri pun ada masalah. Tetapi bagi wakil rakyat jika perkara ini mengelirikan, kita boleh kongsi bersama. Beritahu rakyat, kenapa tidak boleh hadir mana-mana function. Berikan reason yang masuk akal. Jangan berikan alasan yang tidak boleh diterima. Kita kena dampingi rakyat, bantu mereka dan lakukan perubahan. Baru rakyat akan rasa lebih selesa. Jika tidak mereka akan menganggap mandat yang diberikan adalah sia-sia sahaja dan mereka akan berusaha mencari wakil lain. Di pihak pemimpin, kita sedang sedaya upaya bukan sahaja meneyelesaikan masalah orang ramai tetapi juga masalah parti dan sebagainya. Rakyat tidak perlu bimbang. Kita sentiasa bersama mereka.

Calon PKR yang istihar diri mereka sebagai bebas, saya tidak setuju. Saya minta mereka letakkan jawatan sebagai wakil kawasan. Biar rakyat membuat pemilihan baru. Jangan jadikan diri mereka (wakil Bebas) sebagai dayus. Saya mahu rakyat pilih semula wakil rakyat mereka dengan adanya pilihanraya baru.

Berkaitan rombakan exco yang akan dilakukan oleh YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abd Razak Menteri Besar Kedah tidak lama lagi. Apa komen YB

Saya tiada apa-apa bantahan langsung. Malah kita menyokong usaha YAB MB kita. Ini ada kaitan dengan tugas dan KPI kita sebagai wakil kepada rakyat. Masing-masing wakil rakyat, exco dan YAB MB sendiri ada KPI. YAB nak tengok kerja kita lebih mantap, lebih berkesan dan impaknya kepada rakyat, maka jika saya sekalipun diminta berundur dan digantikan dengan wakil lain, kita undur sahaja. Bagi saya, adalah lebih baik jika kita tahu bahawa keperluan berundur itu ada, kita beri peluang orang lain pula.

Saya ucapkan selamat Berjaya kepada YB

Terimakasih

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.