Followers

Sunday, February 21, 2010

Selangor Pulih 50 RIbu Unit Rumah Terbengkalai

Kerajaan Negeri Selangor hari ini melancarkan Program Pemulihan Perumahan Terbengkalai Negeri Selangor yang membantu rakyat terbabit di samping menjana pertumbuhan ekonomi negeri.

Kos pemulihan dianggarkan berjumlah 5 billion ringgit.


Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kunci kepada pembeli unit pertama projek-projek yang berjaya di pulihkan di Ukay Bistari dan Saujana Puchong.


Kedua-dua projek awal ini membabitkan kira-kira 300 penduduk.
Langkah memulihkan perumahan terbengkalai ini meringankan beban kewangan pembeli yang kebanyakannya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Sekian lama mereka menanggung hutang pinjaman tanpa menduduki rumah mereka kerana projek tidak disiapkan akibat pelbagai faktor.


"Sebelum saya datang untuk berbincang bersama penduduk, saya minta sedikit suntikan dana dari kerajaan negeri untuk melancarkan program pemulihan ini. Maka Menteri Besar Tan Sri Khalid bersetuju dan kita akan adakan mesyuarat minggu hadapan untuk meminta dana pendahuluan dari Lembaga Perumahan," kata Anwar.


Aktiviti pemulihan melibatkan kos sebanyak RM5 billion serta kesan gandaannya dijangka akan dapat merancakkan ekonomi negeri dengan menggerakkan kembali sektor pembinaan, terutamanya di kalangan kontraktor kecil dan sederhana.


Ini selaras dengan usaha Kerajaan Negeri mengambil pendekatan merakyatkan ekonomi dengan memastikan aktiviti ekonomi melibatkan golongan terbesar iaitu golongan berpendapatan rendah dan sederhana.


Program pemulihan ini juga merupakan salah satu bukti kejayaan pendekatan kerjasama kerajaan swasta yang diambil oleh Kerajaan Negeri.


Sejurus selepas mengambil alih Selangor, kerajaan negeri Pakatan Rakyat mengenal pasti 144 projek rumah terbengkalai, membabitkan lebih 50,000 unit kediaman di seluruh Selangor.


"144 projek terbengkalai ini kita warisi dari kerajaan dahulu. Mereka membuat pakatan bukan dengan rakyat, sebaliknya dengan pemaju. Dalam erti kata lain, syarikat yang menguruskan rakyat, dan kita tidak tahu bagaimana mereka menguruskan kerja mereka. Yang halal, yang haram, tidak kita ketahui sebaliknya tiba-tiba rumah yang dijanjikan tidak siap," kata Anwar.


"Sebaik sahaja kita dipilih untuk mentadbir negeri ini, kita segerakan projek pemulihan ini kerana kita sedar kita tidak boleh melepaskan tanggungjawab itu," tegas beliau.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.