Followers

Tuesday, February 23, 2010

Dapat CF dalam masa seminggu - kata YB DS ANWAR IBRAHIM




GOMBAK, 21 Feb: Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan mendapatkan sijil layak menduduki (CF) di projek perumahan Taman Bistari minggu hadapan.

Perumahan itu hanya mendapat sijil sementara daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).


"Saya berjanji akan mendapatkan CF minggu depan. Kalau Isnin ini dapat surat, minggu itu juga diluluskan. Kita bukan macam Umno, sengaja mendera rakyat.


“Ayat yang biasa gunakan, sedangkan tujuh tahun boleh tunggu, takkan tujuh hari tak boleh tunggu. Kita bukan begitu. Sudah tujuh tahun penduduk menunggu, kita tidak akan dera penduduk tujuh hari lagi," katanya.


Beliau menyatakan demikian pada Majlis Pelancaran Program Pemulihan Perumahan Terbengkalai Negeri Selangor di perkarangan perumahan penduduk Taman Ukay Bistari, Hulu Kelang, semalam.


Beliau turut menyampaikan kunci rumah kepada penduduk di Hulu Kelang dan Puchong yang berjaya memiliki rumah melalui skim pemulihan perumahan terbengkalai di negeri itu.


Sementara itu, setelah tujuh tahun menunggu, akhirnya 300 penduduk Taman Ukay Bistari mampu menarik nafas lega semalam apabila dapat mendiami rumah sendiri.


Mereka juga mendengar sendiri jaminan yang diberikan oleh Anwar untuk menyelesaikan masalah perumahan terbengkalai itu seberapa segera.


Seorang penduduk yang ditemui selepas majlis berkenaan, Aminah Othman, 46, melahirkan rasa syukur apabila Kerajaan Selangor menunjukkan kesungguhan untuk menyelesaikan masalah perumahan terbengkalai itu dan berharap kerajaan negeri dapat membantu mereka menyelesaikan beberapa lagi masalah berkaitan rumah dalam kadar yang segera.


"Saya rasa bangga sebab Datuk Seri Anwar sendiri yang turun menyerahkan kunci kepada kami di sini. Saya harap beberapa lagi masalah yang kami alami di sini seperti masalah tiada air dapat diselesaikan dengan segera," katanya.


Rakannya, Noriahani Ibrahim, 50, pula berkata, sikap Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor amat berbeza dengan Kerajaan Umno/Barisan Nasional terdahulu yang tidak mengambil tahu masalah penduduk.


“Lega sikit sejak ambil alih ini. Sebelum ini, mereka (kerajaan BN) tidak ambil tahu langsung. Selama ini, kami umpama terumbang-ambing. Tidak tahu kepada siapa yang mahu diaju masalah. Bila dah ambil alih, syukurlah," katanya.


Kegembiraan juga jelas terpancar di wajah seorang lagi penduduk yang ditemui, Shaari Jusuh, 63, yang sekarang ini menetap di Bukit Beruntung sementara menunggu projek perumahan itu siap.
"Tujuh tahun saya menunggu, derita menunggu untuk menduduki rumah sendiri. Hari ini saya sangat gembira apabila menerima kunci dan apa yang saya harapkan menjadi kenyataan," katanya sambil tersenyum gembira.

(Gambar: Shaari memegang replika kunci rumah)


Mereka antara 300 penduduk di Hulu Kelang dan Puchong yang merupakan kumpulan terawal yang berjaya memiliki rumah di Selangor melalui skim pemulihan perumahan terbengkalai di negeri itu.


Skim berkenaan dimulakan tahun lalu melalui pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM5 bilion, bagi memulihkan hampir 5,000 unit rumah terbengkalai di 141 kawasan perumahan di Selangor.


Program itu diselia oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Adun Hulu Kelang, Saari Sungib dan dijalankan melalui sumbangan modal dan kepakaran dari syarikat swasta.


Jawatankuasa itu pula diletakkan di bawah jawatankuasa induk yang akan turut dianggotai Exco, pihak berkuasa tempatan dan juga wakil penduduk.


Harakahdaily.net/-

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.