Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru dilantik, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, mulai tahun ini, tindakan akan diambil terhadap mereka yang mendedahkan kepada pihak media maklumat dalam aduan mereka kepada SPRM. Dalam sidang akhbar sulungnya selaku ketua pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim, 48, berkata mengikut Seksyen 29(4) Akta SPRM, sesiapa yang didapati mendedahkan maklumat mengenai aduan yang dibuat, boleh berdepan dengan tindakan undang-undang.
Menyentuh tentang beberapa tindakan ahli-ahli politik, Abu Kassim berkata, mereka membuat aduan mengenai dakwaan berlakunya rasuah, tetapi pada masa yang sama, mendedahkan juga maklumat kepada umum.
Di bawah akta tersebut, katanya, tindakan boleh diambil terhadap sesiapa yang memberi maklumat, termasuk pemberita yang melaporkannya.
Katanya, maklumat tersebut tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang selain pegawai SPRM dan timbalan pendakwaraya.
Abu Kassim berkata, SPRM terpaksa bertindak demikian kerana ia membabitkan keadilan dan maruah orang yang diadu.
Katanya, ini kerana ada kes di mana pengadu membuat aduan dengan niat yang terselindung dan bukannya untuk membasmi rasuah.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.