Followers

Saturday, January 23, 2010

RM2 juta disediakan PKNK bantu usahawan IKS.

ALOR SETAR - Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk membantu membangunkan usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) Bumiputera di negeri ini melalui Pembiayaan Dana Usahawan PKNK bagi 2010.

Pengerusi Dana Usahawan PKNK, Che Had Dhali berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM495,000 diluluskan kepada semua usahawan Bumiputera IKS yang memohon bantuan bagi fasa pertama ini.

Menurutnya, dana usahawan ini adalah sebagai satu usaha Kerajaan Negeri dan perbadanan untuk membantu usahawan IKS dan usahawan yang bukan bermotifkan keuntungan semata-mata.


“Usahawan IKS yang terus berkembang ke tahap yang tinggi dan berskala besar perlu mendapatkan kemudahan yang disediakan oleh agensi pembangunan usahawan yang lain seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Bank Pembangunan dan sebagainya,” katanya selepas Majlis Penyampaian Peruntukan Pembiayaan Dana Usahawan PKNK 2010, di sini.

Seramai 18 usahawan seluruh Kedah menerima dana itu bagi fasa pertama ini. Hadir menyempurnakan majlis penyerahan dana itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Bioteknologi negeri, Datuk Ir Amiruddin Hamzah dan turut hadir ialah Ketua Eksekutif PKNK, Datuk Abdul Rahman Ibrahim.


Che Had berkata, Kerajaan Negeri bersama PKNK telah mewujudkan dana usahawan ini sebagai salah satu usaha bagi membantu mewujudkan usahawan Bumiputera di bawah program kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 melalui program keusahawanan.

Menurutnya, di bawah program itu usahawan kecil yang menjadikan bidang keusahawanan sebagai sumber mata pencarian dapat dibantu untuk dinaikkan taraf sedia ada kepada yang lebih baik.


“Malah melalui program ini juga, usahawan yang dikenal pasti menghadapi kesukaran dalam mendapat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan disebabkan masalah usahawan atau institusi itu akan dipertimbangkan,” katanya.


Menurutnya, terdapat empat produk dana usahawan yang ditawarkan iaitu pembelian aset tetap, pembiayaan pengurusan premis perniagaan, modal pusingan dan pembiayaan perkhidmatan.


“Justeru saya berharap dengan pemberian dana ini, maka semua usahawan IKS ini dapat mengguna dan memanfaatkan pembiayaan ini dengan sebaiknya bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.


“Saya mohon semua penerima berpegang kepada konsep mesra peminjam iaitu mudah pinjam dan mudah bayar dalam jangka masa ditetapkan.


“Apabila peminjam membayar balik pinjaman ini, pihak pemberi pinjaman dapat membantu lebih ramai usahawan untuk mengembangkan perniagaan masing-masing pada masa akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.