Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan pemimpin kerajaan negeri menumpukan agenda pembangunan memakmurkan negeri Selangor berbanding pergolakan politik yang melanda mutakhir ini. Tuanku mengingatkan sebarang permasalahan tidak diperbesarkan sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan rakyat. Ini kerana rakyat kini semakin bijak menilai sesuatu perkara malah mereka lebih gemar membincangkan aspek pembangunan berbanding fahaman politik. “Beta ingin menyatakan kebimbangan Beta terhadap keadaan semasa yang mana Beta dapati agenda politik telah mengatasi agenda pembangunan negeri. Perkara-perkara yang kecil dihebah dan diperbesarkan sehingga kadangkala melampaui batasan dan menyebabkan rakyat negeri Selangor menjadi keliru”, titah Tuanku Sultan. Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah demikian selepas Istiadat Penganugerahan dan Pengurniaan Darjah Dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang hari ini. Tuanku menitahkan kerajaan negeri supaya menjalinkan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan dan rakyat mendapat manfaat daripadanya. Dalam pada itu, Sultan Selangor mengingatkan Exco Selangor yang diterajui Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar menunaikan janji-janji pilihanraya lepas. “Masa untuk mencari kesalahan dan kelemahan telah berlalu dan telah tiba pula masanya untuk kerajaan negeri sekarang melaksanakan segala perancangan dan janji-janji yang telah dibuat semasa berkempen dan seterusnya mengatasi semua masalah yang dihadapi oleh rakyat demi untuk kemajuan dan kemakmuran negeri Selangor yang kita kasihi ini”, titahnya lagi. Sementara itu, wakil rakyat, ketua kampung dan persatuan NGO juga berperanan membantu pentadbiran negeri dengan menyalurkan segala maklumat dan mendengar rintihan dan masalah rakyat supaya tindakan segera dapat diambil. Dalam usaha menjadikan Selangor selamat didiami, Sultan Sharafuddin mahu rakyat bekerjasama dan membantu pihak berkuasa khususnya polis dalam usaha membenteras jenayah. - NIZAMsumber: tvselangor
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.