Followers

Wednesday, December 2, 2009

Subsidi Gula Mungkin Dimansuh ?

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang mengkaji cadangan pelbagai pihak supaya menarik balik subsidi gula dalam usaha mengurangkan kadar pengambilan bahan itu di kalangan rakyat Malaysia. Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian memandang serius cadangan tersebut dan keputusan sama ada mahu memansuhkan subsidi gula akan dibincangkan di peringkat kabinet tidak lama lagi. "Kami masih membuat penelitian sama ada mahu mengurangkan atau memansuhkan terus subsidi gula yang diberi kerajaan. "Kami akui subsidi gula yang diberi amat tinggi justeru kami sedang mengkaji cadangan beberapa pihak supaya memansuhkannya memandangkan gula bukanlah satu keperluan di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kurangkan Pengambilan Gula anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) di Kuala Lumpur hari ini. Beliau berkata setakat ini kerajaan memperuntukkan RM720 juta setahun bagi menanggung kos subsidi gula bagi mengekalkan harga gula bertapis pada paras RM1.45 sekilogram.
Ismail Sabri bagaimanapun berkata harga gula dijangka mencecah RM2.45 sekilogram tahun depan jika kementerian mengambil keputusan untuk memansuhkan subsidi gula. Katanya, faktor cadangan pemansuhan subsidi itu dipertimbangkan antaranya kerana Malaysia satu-satunya negara yang membekalkan subsidi gula kepada rakyat. Selain itu, katanya, ia sebagai menyokong usaha mewujudkan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat negara ini. Terdahulu, Presiden CAP SM Mohamed Idris turut menggesa kerajaan agar menghapuskan subsidi gula selepas beberapa persatuan pengguna lain turut mencadangkan usul yang sama baru-baru ini.
sumber: malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.