Followers

Thursday, December 24, 2009

Perbicaraan Rosli Dahlan Bersambung 5 Januari

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menolak permohonan kerajaan menyekat pasukan peguambela Rosli Dahlan dari menyoal-balas timbalan pendakwaraya Anthony Kevin Morais berhubung notis menuntut Rosli mengisytiharkan aset-asetnya.

Peguam Rosli Dahlan, Datuk K Kumarendran dalam penghujahannya berkata notis tersebut diserahkan dengan niat jahat dan bertujuan untuk memerangkap anak guamnya.


Rosli Dahlan, adalah peguam kepada bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuf, yang turut menghadapi pertuduhan rasuah. Beliau ditahan dan didakwa kerana enggan mengisytiharkan asetnya kepada Badan Pencegah Rasuah.

Beliau didakwa dua tahun lalu dibawah Seksyen 3(1)(b) dibawah Akta Rasuah 1997 kerana enggan bekerjasama dengan tuntutan BPR itu, yang mahu Rosli membongkar aset-aset yang dimilikinya.


BPR mahu mengaitkan Rosli kepada satu siasatan membabitkan Datuk Ramli dua tahun lalu.
Kes ini menyorot perhatian meluas selepas blogger sensasi Raja Petra Kamaruddin mendakwa adanya konspirasi peringkat tertinggi membabitkan pegawai kanan kerajaan untuk menjatuhkan Datuk Ramli dan Rosli Dahlan.

Sementara itu, Kumarendan berhujah pihak pendakwaraya mengeluarkan notis itu berdasarkan kepada akuan para saksi dan penyata bank, yang menurut Kumarendran bukanlah alasan kukuh untuk mengeluarkan notis tersebut.


Beliau menjelaskan bahawa penyata bank yang menunjukkan pengeluaran ringgit dari sebuah akaun tidak bermakna wang itu jatuh ke tangan Datuk Ramli.
Dengan itu, jelas beliau, pihak pendakwaraya tidak mempunyai asas yang kuat untuk mendakwa Rosli.

Pendakwaraya Zulqarnain Hassan cuba menepis penghujahan ini dengan berkata yang dibicarakan di mahkamah bukanlah kesahihan notis, sebaliknya kegagalan Rosli untuk patuh kepada notis tersebut.


Mahkamah juga diberitahu bahawa Rosli bukanlah suspek dalam siasatan terhadap Datuk Ramli, sebaliknya dipanggil sebagai saksi. Rosli dilaporkan mempunyai hubungan akrab dengan Ramli sejak universiti, dan membantu Ramli dalam pelbagai kes.


Kumarendran menyanggah dan berkata keseluruhan kes ini bergantung kepada persoalan apakah notis ini dikeluarkan mengikut lunas undang-undang atau mempunyai motif jahat tertentu.


Perbicaraan akan bersambung 5, 6 dan 7 Januari depan bermula dengan soal-balas keatas Morais.

sumber: tvselangor

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.